Tuesday, February 10, 2009

IMAM ‘ASIM BIN ABI AL-NAJUD AL-KUFI

Nama sebenarnya ialah Imam ‘Asim bin Abi al-Najud al-Kufi. Ayahnya bernama Abdullah dan keturunannya ialah Abu al-Najud manakala ibunya pula bernama Bahdalah. Ada juga yang mengatakan nama sebenar ‘Asim ialah ‘Asim ibnu Bahdalah.

Imam ‘Asim bin Abi al-Najud al-Kufi juga digelar sebagai Abu Bakar kerana beliau berketurunan Arab asli daripada kabilah Bani Asad di Kufah dan salah seorang daripada al-Qurra’ al-Sab’ah. Beliau telah mangambil ilmu qiraat daripada dua orang sahabat iaitu Ani Ramthah Rifa’ah al-Tamimi dan al-Harith bin Hassan al-Bakri. Imam ‘Asim maenjadi tabi’in kerana Abi Ramthah telah mengambil riwayat daripada al-Imam Ahmad bin Hanbal manakala al-Harith pula mengambil riwayat daripada Abi Ubaid al-Qasim bin Salam.

Guru kepada Imam ‘Asim ialah Abi Abdul Rahman Abdullah bin Habib bin Rabi’ah al-Sulami al-Dharirr, Abi Maryam Zarrin bin Hubaisy bin Habsyah al-Asadi dan Abi Amru Sa’dun bin Ilyas al-Syaibani. Mereka bertiga pula mengambil riwayat daripada Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa al-Sulami mengambil riwayat daripada Ubai bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit. Ibnu Mas’ud, Ali, Ubai dan Zaid mengambil riwayat daripada Rasulullah s.a.w.

Imam ‘Asim adalah Imam yang pertama dalam bidang Qiraat di Kufah selepas Abi Abdul Rahman al-Sulami dan menjadi tumpuan serta tempat rujukan semua manusia dari segenap pelusuk dunia. Beliau dianugerahkan suara yang merdu, pandai membaca al-Quran al-Karim dengan bertajwid serta mempunyai sebutan dan lahjah yang jelas. Abu Bakar ibnu ‘Iyash (Syu’bah) berkata : “ Tidak pernah aku melihat seorang manusia yang pandai membaca al-Quran al-Karim melainkan ‘Asim bin Abi al-Najud al-Kufi yang begitu mahir dalam bidang ilmu bahasa, nahu dan pakar dalam bidang feqah ”.

Berkata Yahya bin Adam dari Hassan bin Soleh : “ Aku melihat tidak ada seorangpun yang lebih fasih bercakap melainkan Imam ‘Asim bin al-Najud al-Kufi”. Abu Bakar bin ‘Iyash berkata : “ Imam ‘Asim pernah jatuh sakit selama dua tahun tanpa membaca al-Quran dan membuat sebarang kerja. Apabila beliau sembuh dari penyakitnya, beliau dapat membaca al-Quran tanpa melakukan sebarang kesalahan”.

Imam ‘Asim mempunyai beberapa orang anak murid. Di antaranya Hafs bin Sulaiman, Abu Bakar Syu’bah bin ‘Iyash, ( kedua-duanya ialah perawi yang masyhur ), Abaan bin Taghlab, Hamad bin Mihran al-A’masyh, Abu al-Munzir Salam bin Sulaiman, Sahl bin Syu’aib, Syaiban bin Muawiyah dan lain-lain lagi. Imam ‘Asim juga pernah mengambil riwayat daripada Abu Amru bin al-A’la, Khalil bin Ahmad dan Hamzah bin al-Ziyat.

Beliau wafat pada akhir tahun 127 Hijrah di Kufah.

0 comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP