Ramadhan 1433H
Berbaki dua bulan lagi, maka genaplah setahun sepeninggalan saya dari tanah mulia yang berdebu. Benar, arahnya berpusing bagaikan 360 darjah. Kehidupan yang memasuki era kerjaya amat membezakan saya dengan kehidupan setahun dulu. Saya, jujurnya amat merindui tika waktu menjadi pelajar yang 'mencari'. Kini, waktu yang sempit ini bagai mencuri minit dan jam yang saya miliki dulu.
Ukuran hidup ketika ini berbeza. Suasana juga berbeza. Masih mencuba mengekalkan momentum untuk 'mencari'. Bukan hanya melapiskan alasan yang setebal kitab thurath dalam pengajian dahulu. Saya tidak akan berhenti di sini untuk terus 'mencari', bahkan saya akan memerah keringat yang ada untuk cuba meletakkan diri dalam pencarian hingga akhir nafas yang ada. Mengharapkan nafas yang terhembus akhir di persada lapangan 'pencarian', bukan di persada tilam empuk berlapik baldu.
Dalam terus ke hadapan, perlu pelbagai tribulasi yang berdepan. Pasakkan tapak mencari sokongan Ilahi agar terbela dari segala tipuan duniawi. Angin beracun yang tiada mampu dihalangi makin terus meniup, mencari mangsa yang leka khayal akan nyamannya hingga memburuk busuk. Mencari penawar, merawat luka bekasan racun yang berbisa hingga kadangnya tersungkur lemah ke bumi.
Ramadhan kali ni, merubah corak hidup seorang lelaki biasa agar terdidik dengan hasil luar biasa. Bimbing dan bawalah kami ke jalan-Mu yang benar ke Syurga-Mu yang kekal abadi. Allah...rindui masa lalu yang 'mencari'.