Friday, April 8, 2011

Keluargaku Hidupku



Alhamdulillah, Jumaat nan indah datang kembali. Hari yang lebih dikenali dengan gelaran penghulu segala hari. Hari yang diisi dengan selawat atas Baginda Nabi Muhammad SAW. Hari yang penuh berkat dengan bibir yang dibasahi zikir dan bacaan serta tadabbur daripada Surah Al-Kahfi. Hari segala hari yang mempunyai seribu rahsia keistimewaannya. Ayuh, kita hidupkan hari ini dengan segala amalan kebajikan sebagai bekalan di hari nanti.

Sungguh indah hari ini jika bersama keluarga tersayang di tanah air. Kebiasaannya, permulaan pada pagi yang hening ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran daripada Ayah tersayang. Tika ini, nahaslah jika masih ada yang berbaring lena dalam selimut masing-masing. Didikan untuk bangun awal Subuh telah dipupuk sejak kami masih kecil. Kami sama sekali dilarang daripada tidur selepas waktu Subuh.

Mak tercinta bangkitnya lebih awal daripada semua makhluk hidup di rumah. Subhanallah, masih belum saya temui wanita yang hidupnya hanya untuk suami dan anak-anak melainkan wanita yang telah mengandung dan melahirkan saya ini. Ketika ayah tenggelam dengan nikmat dan tadabburnya dengan Kalamullah, Mak berselangseli menyiapkan sarapan dan juga mengejutkan kami yang masih tidur. Mak amat masak dengan perangai Ayah yang tiada tolak ansur bilamana mengetahui ada antara kami yang masih belum bangun daripada tidur.

Sahutan kicaun burung dan bunyi ayam yang 'meminta' sarapan menambahkan lagi seni kehidupan pagi kami. Waktu itu mentari yang cantik telah memancar sinar paginya dengan megah. Sekarang, rumah kami tiada lagi pepohon kayu untuk menghalang sinar matahari daripada terus menerangi teratak kami selepas diberi sentuhan nafas baru oleh ayah 2 tahun yang lalu. Binaan konkrit kukuh untuk menyokong tanah menjadikan kawasan sekitar rumah kami lebih luas.

Setiap pagi, jarang sangat untuk kami ketinggalan bersarapan bersama-sama. Jumaat dikatakan hari wajib kerana kepulangan kakak dan abang yang bekerja sekitar Terengganu untuk bercuti. Keakraban, ikatan dan hubungan kami amat susah ditafsirkan. Darah Mak dan Ayah yang mengalir tidak mampu untuk menjarakkan kami, inikan pula untuk memisahkan kami.

Selesai sarapan, masing-masing sedia dengan tugasan tertentu. Lelaki ke belakang rumah dan sekitarnya, membersih segala jenis sampah dan mengemas barang-barang di stor. Perempuan dengan tugasan di dapur juga menjemur kain. Jika kepulangan penuh kami anak beranak, semestinya lauk tengah hari tersebut teramat istimewa. Alhamdulillah, ada di antara kakak yang pandai memasak. Amat pandai memasak saya kira. Tidak hairanlah sekarang ada yang membuka perusahaan kedai makan secara kecil-kecilan.

Usai Solat Jumaat, hidangan siap tersedia menanti. Adat di rumah, perlu menunggu sehingga Ayah pulang terlebih dahulu. Ayah sebagai imam selalu balik agak terkemudian daripada jemaah yang lain untuk menguruskan hal berkaitan masjid. Ayah yang sudah tersedia maklum akan memberitahu awal-awal untuk tidak menunggunya jika hari itu ada jemputan tahlil dan sebagainya.

Ini hanya berlaku di Malaysia, bersama keluarga yang saya dan adik beradik membesar bersama. Pesanan Ayah untuk kami adik beradik menjaga hubungan antara kami amat diambil cakna oleh semua. Ketaatan kami pada Mak Ayah diharap kekal dan semakin baik dari hari ke hari. Impian kami untuk melihat mereka berdua mampu mengerjakan Haji yang mabrur sebelum nafas terakhir mereka diharap menjadi kenyataan, insyaAllah.

Tiada yang lebih diimpikan manusia yang berakal melainkan sebuah kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kebahagian untuk mendambakan cinta Allah dan RasulNya. Kehadiran anak-anak dan dihiasi lagi dengan telatah cucu-cucu yang nakal hampir mengapai Rumahku Syurgaku. Semoga Allah memperbaiki dan menjaga hubungan antara kami semua dan meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kami kepada Allah SWT dalam mencari keredhaan hidup di dunia dan Akhirat.

Mode: Ingat keluarga amat!

A014
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman 31:14)




Thursday, April 7, 2011

Lagu indah daripada rakyat Mesir-25 Januari 2011

Syuhada' 25 Januari~Hamadah Helal~




Syuhada' 25~Tamer Husni~

Friday, April 1, 2011

Pabila Melihat

Sudah lama ambe tidak berceritera di sini selepas peristiwa besar yang bakal dan telah merubah sejarah Ummuddunya, Mesir@Egypt. Kejatuhan empayar Husni Mubarak yang dahulunya merupakan 'gergasi' akibat gigitan 'jutaan semut-semut hitam'. Akhirnya tersungkur di antara sebuah kerajaan yang paling lama menguasai dan memerintah sesebuah negara. Kemegahan sementara yang diagungkan selama ini rebah menanti reput. Diharapkan revolusi dunia arab kini menjadi peringatan kepada semua pemimpin dunia terutamanya pemimpin yang mengatakan mereka itu hamba Allah dan pengikut Muhammad SAW.

Tempias kini tercalit kepada Al-Azhar, sebuah tempat pengajian terulung dunia. Bahang itu semakin parah dari hari ke hari. Manhaj mu3tadil dan wasotiah yang selama ini menjadi method Al-Azhar kini terancam oleh mereka yang mengatakan mereka adalah pendokong Islam dan penentang bidaah. Moga Allah menjaga kemulian dan kesucian Al-Azhar daripada sebarang anasir yang ingin memburukkan imej Al-Azhar di mata dunia.

Pelbagai 'kejutan' yang berlaku dalam waktu 25 JAN 2011 atau lebih dikenali sebagai Thaurah Sya3b (Kebangkitan Rakyat). Selesai sudah ambe melihat dan melawat medan Tahrir yang kini diberi nama baru Medan Syuhada' bersempena dengan peristiwa 25 Januari yang meragut nyawa ramai rakyat Mesir. Pengorbanan segolongan rakyat dan sokongan yang lainnya menatijahkan kuasa sebenar sesebuah negara. Manfaatnya boleh diambil dan dijadikan iktibar untuk kesemua manusia yang berfikir.

Perintah berkurung masih berkuatkuasa di antara jam 12.00 malam hingga 6.oo pagi. Hikmah disebalik peristiwa besar ini perlu direnung dan dijdikan ingatan bersama. Sekarang kita menunggu khabar dari negara jiran yang retak menanti belah. Kesudahan yang terbaik kita harapkan, insyaAllah.



Thursday, January 13, 2011

Sahabat Urdun

Permulaan tahun baru ini, rumah kami diberkati dengan kunjungan ziarah sahabat seperjuagan dari seberang Laut Merah, Jordan. Kegigihan empat orang sahabat, Us Auni, Us Aisa, Us Nazirul, dan Us Zulhelmi berakhir setelah mengharungi perjalanan laut dan darat yang memakan masa selama hampir 12 jam untuk sampai ke destinasi.

Ikatan ukhuwwah yang telah terjalin sekian lama sejak di fasa 'asuhan' Maahad Tahfiz lagi, kini dibajai kembali melangkaui sempadan negara. Pelukan kasih sayang menyambut ketibaan mereka yang kepenatan dan disusuli dengan hidangan masakan enak Us Salam el-Masyi.

Hadir tetamu membawa berkat. Kedatangan mereka untuk menghabiskan waktu pecutian semester dengan memilih Mesir sebagai destinasi pilihan. Dua di antara mereka adalah rakan sekelas sewaktu di MT dulu. Selepas tiga tahun, ini pertemuan pertama kami. Sukar digambarkan perasaan tika itu. Nostalgia suka duka bermain di mata. Pelukan kemas itu tanda rindu antara kami amat sukar untuk dirungkap.

Perbualan santai disudahi dengan alunan dengkuran masing-masing yang keletihan. Moga saya mampu memberi khidmat terbaik untuk mereka sepanjang keberadaan mereka di sini.

~Ahlan bissa3adati duyuf~





Saturday, January 8, 2011

Anak-anak kecil














Friday, January 7, 2011

Awas, jangan keluar rumah hari ini!

Insiden pengeboman Gereja al-Qiddissin di Iskandariah pada awal tahun 2011 seolah-olah merubah mimpi lena Mubarak dan Mesir seluruhnya. Seiring dengan sambutan tahun baru kali ini, Mesir dihidangi dengan peristiwa berdarah yang cukup mengerikan. Jumlah kematian dan kecederaan yang tinggi (23 kematian dan hampir 70 kecederaan) kebanyakannya penganut Kristian ini meningkatkan kemarahan mereka yang sering mengatakan pihak kerajaan mengamalkan dikriminasi pada mereka selama ini. Kesan ledakan bom yang kuat menyebabkan masjid yang berdekatan yang turut sama terkena serpihan yang menyebabkan 8 orang Islam tercedera.

Sehingga hari ini, beberapa rusuhan telah berlaku. Rusuhan daripada penganut Kristian ini adalah untuk menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil tindakan yang sepatutnya untuk menjamin keselamatan mereka di gereja. Antara lainnya juga, dikriminasi yang diamalkan kerajaan pada penganut minoriti ini antara yang hanya berjumlah 10% sahaja di Mesir.

Hari ini, Jumaat~7 Januari adalah perayaan Krismas untuk Kristian Koptic Ortodoks mengikut kalendar Julian (klik sini). Diharapkan pihak yang bertanggungjawab mengambil perhatian dan iktibar dari peristiwa lalu. Daerah Shoubra ini terutamanya St.Theressa ini terdapat sebuah gereja utama yang pastinya ketika ini penuh dengan polis dan mabahis. Bagi sahabat yang disayangi, dipohon agar anda semua menikmati hari ini di rumah sahaja. Jika perlu untuk keluar, pihak Keselamatan Mesir menyuruh agar mahasiswa-mahasiswi Malaysia lebih berhati-hati dengan membawa dokumen pengenalan diri seperti pasport, kad matrik universiti atau kad ahli PMRAM. Pekeliling yang telah dikeluarkan oleh persatuan diharap diambil perhatian sepenuhnya.

Keganasan ini sebenarnya adalah suatu propaganda yang telah diatur oleh pihak tertentu untuk mengucar kacirkan toleransi agama di Mesir. Terdapat beberapa laman web yang menyenaraikan kedudukan seluruh gereja sekitar Mesir dan Eropah serta cara-cara untuk menyerang mereka. Islam adalah agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan. Jangan membelakangi tuntutan agama dalam sesuatu perkara. Al-Quran dan Sunnah perlulah dijadikan panduan dalam kehidupan kita yang hanya sementara ini.





Monday, January 3, 2011

Kawan baru ( ganti us akhori )


Shiro&Hachi(first day)


Hold tight


Tempat Bergaloks


Our beds


We love gargil!


Untuk 2 hari


Jiran tetangga kami



  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP