Friday, August 5, 2011

5 Ramadhan




Bismillah...Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita terutamanya nikmat Iman dan Islam yang hanya diberikan kepada makhlukNya yang terpilih sahaja.

Hari ini kita masih mampu menunaikan ibadah setelah masuknya 5 Ramadhan dan kita harapkan ibadah kita ini berterusan dan bertambah walaupun setelah berakhirnya Ramadhan.

Di daerah Shoubra, salah sebuah penempatan dan bandar di Kaherah ini tidak jauh bezanya dengan tempat lain di Mesir. Sikap orang arab yang cukup sinonim dengan Ramadhan adalah kegembiraan mereka dalam mengejar amal ibadat sepanjang bulan mulia ini.

Jika di Malaysia, bulan Ramadhan juga dikenal dengan pesta makanan. Juadah seperti lauk pauk dan kuih muih dijual di bazar Ramadhan yang semestinya menyebabkan pembaziran jika tidak dikawal.

Antara konsep puasa adalah untuk menjadikan kita merasai lapar. Lapar akan mengingatkan kita kepada umat manusia yang susah untuk mencari sesuap nasi. Puasa juga dapat menahan diri daripada melakukan kemaksiatan kerana keletihan dan posisi tubah badan yang lemah.

Di bulan ini, bulan yang hanya datang sekali dalam setahun. Padanya terdapat malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu malam. Berusahalah untuk mencari manisnya ibadat dan berlumba-lumba mengejar waktu dan peluang yang sedang terhidang ini.

Elakkan diri daripada me'raja'kan makanan dan minuman di bulan ini. Semestinya makan berlebihan menjadikan kita sukar dan malas untuk melakukan Terawih dan Qiam sepanjang Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

“Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)



Sunday, July 31, 2011

Bulan Ramadhan Bulan al-Quran


Ahlan ya Ramadhan...

Dah lama tak update cerita kat sini. Banyak sangat peristiwa yang berlaku dalam masa waktu terdekat ini.

Diharapkan kedatangan bulan mulia Bulan Ramadhan kali ini penuh dengan keberkatan dan keistimewaannya yang telah tersedia maklum.

Sekadar berkongsi sabda junjungan Nabi saw : “Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan : kesenangan ketika berbuka, dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)

Ramadhan kareem untuk semua. Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kita. Bulan Ramadhan Bulan al-Quran.

Monday, June 27, 2011

Balas



Sebelum makin jauh masa berlalu, di sini saya ingin mengucapkan tahniah untuk sahabat saya, Kak wearani&suami, Siti Fatimah&suami, Ma'aruf&isteri, Faizul&isteri dan sudah tentu sekali untuk anak saudara tercantik Nornuzula&suami. Barakallahulakum wabaaraka3alaikum wajama3abainakum fikher. Ini pasangan pengantin untuk bulan Jun sahaja. Ramai kan?he.

*****************************

Saya akui sikap lazim untuk melakukan kesilapan sudah berakar umbi dalam diri. Kelmarin saya mengetawakan sahabat dari negara Afrika @ Sudan, saya kurang pasti. Melihat potongan rambutnya yang ala-ala Zainal Abidin penyanyi lagu Hijau amat mencuit hati. Sedar akan keterlanjuran, saya hentikan gelak jahat dengan mempercepatkan langkahan ke dewan exam. Selesai exam, saya baru sedar apa yang saya jawab tadi bukan kehendak soalan. Cash kan?

Mungkin sahabat yang saya gelak itu wali Allah yang warak(bukan wali pun xleh gelak jugak bro). Walau hanya soalan point yang kecil, tapi dari segi pemarkahan semestinya berlaku perubahan. Sekarang hanya mengharapkan dan menyerahkan segalanya pada Dia. Overall, Alhamdulillah saya amat berterima kasih bagi yang telah mendoakan. Saya yakin itu semua berkat doa anda yang tak putus-putus.

Masih berbaki lagi 3 kertas. Semestinya saya sekali lagi lagi memohon doa anda semua untuk dipermudahkan kami untuk meneruskan baki yang masih ada. Kalaulah anda tahu betapa berharapnya kami dengan doa kalian...

Jom, gerbang Ramadhan hampir kelihatan. Lakukan persedian sebaiknya untuk menerima kedatangan bulan mulia ini. Bulan ibadat untuk kita yang hina mencari pengampunan. Maaf dari saya untuk salah silap.=)




Saturday, June 11, 2011

Final Exam bukan Final FA

Dup...dap...dup...dap. Debaran kian mencapai kemuncak. Perjalanan akhir sebagai mahasiswa Shoubra makin dirasai. Esok kami akan menghadapi Imtihan Syahadah Tahun Akhir. Bukan lagi rahsia, tarikh 12/6/2011 menjadi pemula bagi 'kehidupan' baru kami. Hari pertama Qiraat Tahriri dan Fawasil antara killer subjek untuk kami.


Mohon doa kalian semua untuk kemudahan dan kejayan kami dalam imtihan kali ini.

p/s: Kenapa buat exam, hidup ambe terasa kosong bulan ini bias dari aura exam ini.haih!=)



Tuesday, June 7, 2011

Tok Limah

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali berkata: "Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah,walaupun ia tidak mengeluh tetapi sifatnya berubah dari kebiasaan,maka itu tanda dia tidak redha dengan apa yang menimpanya"

Ibn 'Athoillah berkata: "Yang dimaksudkan dengan sabar ialah apabila ditimpa musibah,penerimanya tetap dalam keadaan baik(lantaran redhanya)."

Penakrifan yang hampir sama antara keduanya akan sifat sabar. Redha dan sabar tidak dapat dipisahkan dalam teori ujian, bala, musibah dan setiap perkara yang tidak disukai dalam hidup kita.

Meniti hari yang semakin hampir pada imtihan amat berat dirasakan. Berita pemergian Tok(nenek) tersayang amat menyentap kalbu. Manakan dapat ditahan air mata daripada mengalir keluar. Dipejam rapat tergambar wajah Tok yang dihiasi kedut tuanya yang tersenyum melihat saya.

Evakuasi baru-baru ini peluang terakhir kami bersama. Banyak perkara yang berlaku antara saya dan Tok dalam tempoh tersebut. Melihat Tok solat dan berbual kisah lama anak beranak dengannya masih lagi segar dalam ingatan. Potretnya kemas tersimpan dalam telefon bimbit saya. Terasa sangat untuk merakam wajahnya di kala usai berbual dengan Tok malam itu.

Sentuhan Tok masih terasa. Jari-jari tua Tok masih kuat, persis jari manusia berurat besi. Gengaman Tok kemas dibandingkan gengaman saya. Pagi itu Tok mengurut saya. Esok pun sama. Bukan enak untuk di urut, lagi-lagi jika itu menyusahkan Tok. Yang saya tahu, dengan cara itu, saya dapat rasakan belain Tok. Ah!Susah hendak diluahkan tindakan saya waktu itu. Tiada logik seorang tua yang tidak terdaya itu saya bebankan ia dengan permintaan yang tidak patut.

Kami berbual panjang. Peluang Tok bermalam seminggu dua di rumah, saya penuhkan dengannya. Akhirnya Tok meminta untuk ke rumah anaknya yang lain. Esoknya saya hendak bertolak ke Mesir. Tok melihat saya dengan pandagan sayu. Hati saya menangis melihat air mata Tok. Hati saya berbisik halus, antara kami akan ada perpisahan. Pasti tentang fitrah kitaran manusia yang akan menemui penghabisan umur.

Tok di dalam kereta menangis dengan esakan dan pesanan terakhirnya untuk saya. Melihat Tok hingga hujung pandangan, mata saya berair. Itu kali terakhir dan nokhtah perpisahan kami di dunia.

Dalam doa cucumu ini, moga Allah tempatkan Tok di tempat mereka yang beroleh kenikmatan, di tempat orang-orang yang soleh solehah. Iringan doa dan sedekah bacaan al-Quran untuk Tok saya. Limah Bt Mat Zin ( Tok Limah),30/05/2011, Selasa...al-Faatihah.

Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; oleh itu apabila Ia menetapkan jadinya sesuatu perkara maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia. (Ghaafir 40:68)



Wednesday, April 13, 2011

AMTA 2011 Kembali



اللقاء السنوي
لخريجي معهد تحفيظ القرآن بولاية ترنجانو
بمصر

Tempat : Rumah Ceritera @MBe Tarikh : 13/04/2011 Masa : Ba3da Maghrib Anjuran : AMTA Mesir

Adalah seperti yang tertera, dijemput kepada semua lepasan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu Padang Midin (MTANT) a.k.a Institut al-Quran Terengganu (IQT) untuk menghadirkan diri ke Liqa' Sanawi yang bertempat di St.Theressa, Shoubra. Antara atucara majlis :
  • Khatam Quran @ Tahlil
  • Maulid
  • Ucapan Presiden AMTA Us Muhammad Bin Rusdi
  • Taujihat senior tahun akhir
  • Ucapan wakil DPM, BKAN dan PMRAM
  • Ucapan wakil Bait Muslim
  • Isu-isu berbangkit
  • Membincangkan masalah-masalah tertutup di kalangan ahli
  • Anugerah al-Faqeh Mithali & al-Qari' al-Mithali
  • Anugerah pelajar cemerlang Maahadian
  • Anugerah pelajar tahun akhir Mesir
  • Ranggah Hadralmaut Tiss Kaamil









Friday, April 8, 2011

Keluargaku Hidupku



Alhamdulillah, Jumaat nan indah datang kembali. Hari yang lebih dikenali dengan gelaran penghulu segala hari. Hari yang diisi dengan selawat atas Baginda Nabi Muhammad SAW. Hari yang penuh berkat dengan bibir yang dibasahi zikir dan bacaan serta tadabbur daripada Surah Al-Kahfi. Hari segala hari yang mempunyai seribu rahsia keistimewaannya. Ayuh, kita hidupkan hari ini dengan segala amalan kebajikan sebagai bekalan di hari nanti.

Sungguh indah hari ini jika bersama keluarga tersayang di tanah air. Kebiasaannya, permulaan pada pagi yang hening ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran daripada Ayah tersayang. Tika ini, nahaslah jika masih ada yang berbaring lena dalam selimut masing-masing. Didikan untuk bangun awal Subuh telah dipupuk sejak kami masih kecil. Kami sama sekali dilarang daripada tidur selepas waktu Subuh.

Mak tercinta bangkitnya lebih awal daripada semua makhluk hidup di rumah. Subhanallah, masih belum saya temui wanita yang hidupnya hanya untuk suami dan anak-anak melainkan wanita yang telah mengandung dan melahirkan saya ini. Ketika ayah tenggelam dengan nikmat dan tadabburnya dengan Kalamullah, Mak berselangseli menyiapkan sarapan dan juga mengejutkan kami yang masih tidur. Mak amat masak dengan perangai Ayah yang tiada tolak ansur bilamana mengetahui ada antara kami yang masih belum bangun daripada tidur.

Sahutan kicaun burung dan bunyi ayam yang 'meminta' sarapan menambahkan lagi seni kehidupan pagi kami. Waktu itu mentari yang cantik telah memancar sinar paginya dengan megah. Sekarang, rumah kami tiada lagi pepohon kayu untuk menghalang sinar matahari daripada terus menerangi teratak kami selepas diberi sentuhan nafas baru oleh ayah 2 tahun yang lalu. Binaan konkrit kukuh untuk menyokong tanah menjadikan kawasan sekitar rumah kami lebih luas.

Setiap pagi, jarang sangat untuk kami ketinggalan bersarapan bersama-sama. Jumaat dikatakan hari wajib kerana kepulangan kakak dan abang yang bekerja sekitar Terengganu untuk bercuti. Keakraban, ikatan dan hubungan kami amat susah ditafsirkan. Darah Mak dan Ayah yang mengalir tidak mampu untuk menjarakkan kami, inikan pula untuk memisahkan kami.

Selesai sarapan, masing-masing sedia dengan tugasan tertentu. Lelaki ke belakang rumah dan sekitarnya, membersih segala jenis sampah dan mengemas barang-barang di stor. Perempuan dengan tugasan di dapur juga menjemur kain. Jika kepulangan penuh kami anak beranak, semestinya lauk tengah hari tersebut teramat istimewa. Alhamdulillah, ada di antara kakak yang pandai memasak. Amat pandai memasak saya kira. Tidak hairanlah sekarang ada yang membuka perusahaan kedai makan secara kecil-kecilan.

Usai Solat Jumaat, hidangan siap tersedia menanti. Adat di rumah, perlu menunggu sehingga Ayah pulang terlebih dahulu. Ayah sebagai imam selalu balik agak terkemudian daripada jemaah yang lain untuk menguruskan hal berkaitan masjid. Ayah yang sudah tersedia maklum akan memberitahu awal-awal untuk tidak menunggunya jika hari itu ada jemputan tahlil dan sebagainya.

Ini hanya berlaku di Malaysia, bersama keluarga yang saya dan adik beradik membesar bersama. Pesanan Ayah untuk kami adik beradik menjaga hubungan antara kami amat diambil cakna oleh semua. Ketaatan kami pada Mak Ayah diharap kekal dan semakin baik dari hari ke hari. Impian kami untuk melihat mereka berdua mampu mengerjakan Haji yang mabrur sebelum nafas terakhir mereka diharap menjadi kenyataan, insyaAllah.

Tiada yang lebih diimpikan manusia yang berakal melainkan sebuah kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kebahagian untuk mendambakan cinta Allah dan RasulNya. Kehadiran anak-anak dan dihiasi lagi dengan telatah cucu-cucu yang nakal hampir mengapai Rumahku Syurgaku. Semoga Allah memperbaiki dan menjaga hubungan antara kami semua dan meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kami kepada Allah SWT dalam mencari keredhaan hidup di dunia dan Akhirat.

Mode: Ingat keluarga amat!

A014
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman 31:14)




  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP