Sunday, January 18, 2009

KRONOLOGI...



27 Disember 2008: Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Hamas di Semenanjung Gaza menerusi Operasi ‘Cast Lead ’dalam usaha menghalang serangan roket pejuang, termasuk mengebom terowong di sempadan Mesir-Gaza. 

31 Disember: Roket dilancarkan dari Gaza mendarat lebih 40 kilometer di dalam wilayah Israel. Pegawai kanan Hamas, Nizar Riyan, gugur dalam serangan udara rejim Zionis keesokannya. 

3 Januari 2009: Tentera darat Israel menceroboh Semenanjung Gaza, mengepung Bandaraya Gaza dan mengawal lebuh raya utama, membahagikan wilayah itu kepada dua bahagian. Dua hari kemudian, Menteri Luar Israel, Tzipi Livni, menolak desakan Kesatuan Eropah supaya mengadakan gencatan senjata segera. 


6 Januari: Tentera Israel berkata tiga askarnya maut terkenal bedilan kereta kebal sendiri. Serangan Israel dekat tiga sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengorbankan 48 orang, kata pasukan perubatan sebelum menggantung sementara serangan untuk membolehkan bantuan dihantar ke Gaza. Hamas berkata akan menghentikan serangan roket ke Israel jika serangan dihentikan. 

8 Januari: Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi meluluskan gencatan senjata segera di Gaza yang membawa kepada ‘pengunduran sepenuhnya’ tentera Israel. Agensi utama PBB yang beroperasi di Gaza menggantung operasi selepas konvoi badan dunia itu dibedil peluru kereta kebal. 

9 Januari: Bantahan anti-Israel diadakan di seluruh dunia Arab. Pusingan baru rundingan diplomatik dilancarkan di Kaherah, dengan Mesir menjadi hos rundingan berasingan dengan Presiden Mahmoud Abbas dan delegasi Hamas. 

11 Januari: Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, berkata Israel menghampiri matlamatnya - tetapi pertempuran berterusan. Hamas semakin menghampiri kemenangan, kata ketua kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza, Ismail Haniyeh. 

14 Januari: Tiga roket dibedil ke utara Israel dari Lubnan dalam serangan kedua dalam masa tidak sampai seminggu. Tiada kematian dilaporkan. 

15 Januari: Satu bahagian hospital di Bandaraya Gaza musnah diserang tentera Yahudi. Agensi PBB bagi pelarian Palestin menggantung operasi di Gaza selepas serangan Israel yang mencederakan tiga orang. Menteri Dalam Negeri Hamas, Said Siam, gugur dalam serangan udara tentera rejim. 

16 Januari: Hamas mencadangkan gencatan senjata selama setahun dengan Israel sebagai pertukaran pengunduran tentera Yahudi dari Gaza dan menamatkan kepungan ke atas wilayah itu. Angka korban penduduk Palestin sejak 27 Disember mencecah sekurang-kurangnya 1,333 dengan 5,130 cedera, menurut pasukan perubatan Gaza. 

Di pihak Israel, 10 anggota tentera dan tiga penduduk awam terbunuh. Pegawai pertahanan Israel, Amos Gilad, kembali ke Kaherah untuk rundingan gencatan senjata; Livni ke Washington. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, berkata gencatan senjata semakin hampir dicapai...

2 comments:

Jolynn January 18, 2009 at 8:18 PM  

Saya harap gencatan senjata akan dilakukan... Huhu... Saya mamang tak suka tengok pertumpahan darah. =(

@MBe January 19, 2009 at 11:05 AM  

Harapan kita semua muslimin...ameen

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP