Sunday, August 23, 2009

Persoalan???

Assalamualaikumwarahmatullah....Imam memberi salam tanda selesai Solat Subuh kami pagi itu. Imam yang sama juga mengimami solat Terawih kami malam tadi. Kehadiran ramai ma'mum untuk berjemaah menghidupkan suasana pagi di Masjid Umar Abd Aziz. Seketika bermunajat memohon keampunan dari Pencipta, saya bangun untuk pulang. Sebelum kaki melangkah keluar, terdengar suara riuh-rendah mengejutkan seorang lelaki arab lingkungan umur 30-an yang tidak sedarkan diri. Pelbagai usaha dilakukan bagi menyedarkannya. Memicit ubun-ubun, mengangkat kaki dan ada yang lebih ekstrim menampar kedua belah pipi lelaki itu.

Akhirnya datang seorang lelaki tua mengarahkan supaya diangkat lelaki tadi ke hospital bersebelahan. Keadaan lelaki tadi tidak saya ketahui selepas itu. Cuma saya terkesima dengan kejadian selepas Subuh yang tak disangka-sangka itu.

Terfikir sejenak, jika lelaki tadi Allah gantikan dengan saya. Dan seterusnya roh saya dicabut ketika itu. Apa bekalan yang saya nak hadapkan untuk menemui Rabbulizzati. Apa jawapan dengan dosa-dosa yang telah saya lakukan selama ini. Cukupkah timbangan hisab pahala untuk melepaskan saya dari Neraka Allah. Bagaimanakah pula dengan dosa-dosa yang telah saya lakukan sesama makhluk yang lain. Telah terhapuskah atau masih membelenggu diri.

Bagaimana dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Dengan Allah, masih terjagakah saya akan perintahNya. Dengan ibubapa, terlaksanakah suruhan mereka akan tuntutan ilmu saya di sini. Dengan diri sendiri, beramalkah saya dengan ayat-ayat Allah yang telah dihafal. Dikhinati kesemuanya atau bagaimana? Masih layak lagikah untuk mendamba syurga Allah?

Bagaimana pula dengan amalan sunat, sudah cukupkah untuk menampung amalan wajib yang telah saya lakukan selama ini? Apabila MukarNakir bertanya, Siapa Nabi kamu? Mampukah saya untuk menjawab Nabi Muhammad saw nabiku. Saya perjuangkah Sunnah yang telah ditinggalkan? Saya bangunkah melawan kata-kata nista yang dilemparkan terhadap Baginda. Berapa kali dalam sehari saya sampaikan selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi Muhammad saw serta keluarga? Apa yang telah saya lakukan untuk menjadikan Baginda sebagai ikutan dan tauladan sepanjang hidup. Masih layakkah saya untuk dapatkan syafaat baginda nanti?

Saya pulang dengan persoalan-persolan yang benar-benar rumit untuk dijawab. Ya Allah, jika Ramadhan ini adalah yang terakhir bagiku. Jadikanlah Ramadhan ini yang terbaik pernah saya lalui. Penuhilah ia dengan cahaya keredhaan dan keberkatan. Terimalah setiap ibadatku sebagai 'saham' untukku mencapai redhaMu. Hindarilah Neraka dariKu. ameen...

Moga selepas ini, persoalan tadi dapat saya jawab dengan senyuman dan diharap Syurga telah menanti dengan pintu yang terbuka luas. Sama-samalah kita doakan...


0 comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP