Friday, August 5, 2011

5 Ramadhan




Bismillah...Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita terutamanya nikmat Iman dan Islam yang hanya diberikan kepada makhlukNya yang terpilih sahaja.

Hari ini kita masih mampu menunaikan ibadah setelah masuknya 5 Ramadhan dan kita harapkan ibadah kita ini berterusan dan bertambah walaupun setelah berakhirnya Ramadhan.

Di daerah Shoubra, salah sebuah penempatan dan bandar di Kaherah ini tidak jauh bezanya dengan tempat lain di Mesir. Sikap orang arab yang cukup sinonim dengan Ramadhan adalah kegembiraan mereka dalam mengejar amal ibadat sepanjang bulan mulia ini.

Jika di Malaysia, bulan Ramadhan juga dikenal dengan pesta makanan. Juadah seperti lauk pauk dan kuih muih dijual di bazar Ramadhan yang semestinya menyebabkan pembaziran jika tidak dikawal.

Antara konsep puasa adalah untuk menjadikan kita merasai lapar. Lapar akan mengingatkan kita kepada umat manusia yang susah untuk mencari sesuap nasi. Puasa juga dapat menahan diri daripada melakukan kemaksiatan kerana keletihan dan posisi tubah badan yang lemah.

Di bulan ini, bulan yang hanya datang sekali dalam setahun. Padanya terdapat malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu malam. Berusahalah untuk mencari manisnya ibadat dan berlumba-lumba mengejar waktu dan peluang yang sedang terhidang ini.

Elakkan diri daripada me'raja'kan makanan dan minuman di bulan ini. Semestinya makan berlebihan menjadikan kita sukar dan malas untuk melakukan Terawih dan Qiam sepanjang Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

“Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)



  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP