Sunday, February 28, 2010

PRESIDEN...

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (As-Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.



DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG,
PRESIDEN PAS

Tuesday, February 23, 2010

Jaulah Mahabbah~DAMMIETTA~

Alhamdulillah dengan izinNya kami telah selamat menjalankan Jaulah Damietta selama dua hari satu malam. Berjumlah 28 orang ikhwah, perjalanan menaiki dua buah 'Tremco Siahah' yang baru amat menyelesakan. Jaulah kali ini kami dipertemukan dengan satu keteguhan mahabbah yang tinggi antara satu sama lain. Tangan yang saling menghulur amat dihargai, tiada ungkapan dan hadiah untuk kalian cuma hanya Allah mampu membalasnya...

Perjalanan yang bermula pada pagi Ahad itu terus menuju ke pantai Dammietta untuk operasi kerang. Hasil kali ini membanggakan dengan kerang-kerang yang berjaya dinaikkan melebihi jangkaan. Tapi kumpulan 2 masih juara:). Kami meneruskan aktiviti kami selepas selesai menunaikan solat secara berjemaah di atas hamparan bumi dengan acara bola sepak pantai. Kecerian dan kenakalan masing-masing terserlah mengatasi keletihan perjalanan yang hampir memakan masa 4 jam lebih.

Seterusnya kami menuju ke Ra'su Bar untuk menginap di rumah tumpangan yang telah diuruskan oleh sahabat kami di sana. Usai solat Isyak, kami menuju ke pantai Ra'su Bar untuk aktiviti BBQ. Ayam, ikan, sotong, udang dan kerang menjadi santapan kami pada malam yang sejuk ditambah dengan kegelapan malam.

Selesai berBBQ, ada antara kami bersiar-siar sekitar Ra'su Bar dan ada yang terus ke alam mimpi. Keesokkan paginya, berbekalkan lebihan kerang yang ada kami jadikan lauk untuk makan di atas hamparan rumput yang menghijau. Terima kasih kepada Us Khairuddin atas inisiatif yang terbaik dari anda=).

Ada antara kami yang tidak melepaskan peluang bergambar di Ra'su Bar untuk dijadikan kenangan terindah mereka melihat bot-bot nelayan yang keluar masuk mencari rezeki di lautan. Ada yang teruja melihat pertemuan Sungai Nil dengan lautan yang dirakamkan dengan gambar bersama-sama.

Sebelum bertolak pulang, kami bersiar-siar di sekitar bandar Dammietta melihat jambatan besi yang boleh berpusing, jam besar dan masjid yang indah terukir. Keseluruhannya berpuas hati dengan pulangan hasil tangkapan kerang mereka yang sempat mereka bawa pulang ke Kaherah untuk dijadikan kerang rebus atau lauk pauk.

Di pihak saya, dipohon berjuta kemaafan atas jaulah yang penuh kekurangan ini. Moga dihalakan setiap ketidakpuasan atau mana-mana kecacatan sepanjang jaulah kita bersama. Moga-moga jaulah kita dikira sebagai ibadah. Terima kasih juga kepada DPM Dumyat dan AJK pelaksana, kalian mantopppp!

p/s: untuk gambar, klik SINI

Wednesday, February 17, 2010

TOK GURU selamatkan mangsa lemas

Oleh HermanSamsudeen


Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang. Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.

Memang tidak disangka, seorang pemimpin yang punyai ramai pengikut sanggup terjun ke laut sendiri tanpa mengharapkan anak-anak buahnya mendahuluinya. Selalunya, orang-orang besar dan pemimpin utama akan suruh anak buah mereka terjun untuk selamatkan mangsa.


Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat.

Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya.

p/s-Tok Guru pasti marah kalau tahu ana siarkan gambar dan tulis macam nie. Ana minta maaf pada dia. Beliau tidak suka perkara ini dibesarkan, tapi itulah hakikat dirinya yang kita kena tahu. Semoga kita dapat mencontohi beliau.

Klik Video


Tuesday, February 16, 2010

HIKMAT yang KERAMAT

Berada di rumah Dr.Lutfi di Haiyyu Asyir...:

-Breakfast sandwich bersama syai 3arusah (confirm sakit perut pasni)...

-Bersempena dengan HIKMAT ( Hari Keluarga Mahabbah Terengganu ) yang berlangsung selama 4 hari berturut-turut.

-Bila berkumpul bersama seperti ini, amat suka mendengar celoteh nakal sahabat-sahabat dari terengganuwiyyun ini. Setahun sekali la katakan...

-Menghilang rindu dan kedukaan berjauhan dengan negeriku tercinta, Terengganu. Ibarat kini saya berada di dalam Pasar Payang yang riuh dengan kesibukan orang ramai berniaga..."ikang berape iya sekilo mok cik?"...

-Menggamit rasa memendam luka teringatkan kampung halaman...

-Sungguh, amat rindu air kopi pekat dan ubi kayu, juga budu dan petai jering. Ayam jantan berkokok nyaring dengan burung bersiul manja. Di sini juga ada, riuh dengan hon-hon kenderaan dan suara keldai.Ermm, not bad anyway...

-Bila lagi boleh melihat jernihnya sungai mengalir, merasa sejuknya air sungai yang meresap jauh ke belulang, memanah ikan, memancing kelah dan puyu. Berendam bersama adik dan abang, berkelah dan bersuka ria. Sungguh, amat menantikan saat itu...

-Bila lagi boleh merasa gatalnya gigitan anak pacat dalam kebun sawit yang menghijau. Selalu lembu dan kerbau Pak Cik ***** membuat onar dengan menyepahkan pelepah sawit yang telah tersusun kemas di batasannya. Kadang, timbul rasa simpati melihat kecacatan haiwan tersebut dengan sebab cuka getah yang disimbah oleh manusia yang tak berhati perut. Geram sangat mungkin. Jadilah seperti saya, hanya menghayun parang kontot...eh, macam lebih kejam je.:(

-Jumpa kawan-kawan senegeri, loghat rasmi makin lebat jadinya."Weh, mung nok panjat gunung sinai dok kekgi?"...

-HIKMAT yang penuh hikmah. Memori indah menjadi nestapa. Merintip kasih jauh di perjalanan...

-Hari keluarga dirai penuh semangat, ikatan ukhwah kita makin terjalin erat

-Mok, awang nok balaikkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!....bas ya ammu!


Sunday, February 14, 2010

Kehadiran orang baru

Alhamdulillah, dipanjatkan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah Azzawajalla atas nikmat yang tak kunjung habis dan dua nikmat yang paling penting, nikmat Iman dan Islam...

Berita pagi tadi yang sungguh menggembirakan, lahirnya seorang puteri Islam yang diberi nama Nur Afza Qistina Bt Rohizat. Kelahiran cahaya mata yang pertama bagi kakak dan abang ini didoakan akan menjadi kebanggaan ibu bapa dan agama hendaknya. InsyaAllah selepas ini akan menyusul adik-adik Nur Afza nanti..:)

Dari kejauhan saya mendoakan k.eja berada dalam keadaan sihat selepas penat bertarung antara hidup dan mati ditemani suami di sisi. Di sinilah terlihat benarnya hadis baginda tentang penderitaan yang paling sakit di dunia ini, antaranya ketika melahirkan anak. Dan syahid adalah ganjaran untuk mereka, kaum ibu...

Kebahagian kalian inspirasi kami. Moga saya sempat melihat dan mendukung baby Afza nanti. Jom, kita buli baby naruto.huhu...

Saturday, February 13, 2010

~Sekadar Iklan~


Letih masih terasa...Gembira dan seronok bersama-sama dengan para sahabat dalam Hari Keluarga Shoubra kali ini. Melihat tawa dan kecerian di wajah bakal-bakal ulamak ini sungguh mendamaikan. Kredit untuk AJK pelaksana yang diketuai oleh sahabat saya Us. Kamarul. Jasa kalian bersusah payah dalam menjalankan program ini amat kami hargai. Hanya Allah mampu membalas jasa-jasa kalian. Barakallahulakum!



Ini pula Hari Keluarga Dan Mahabbah Anak Terengganu. Semestinya kedatangan anak-anak Terengganu di sekitar Mesir ini akan menghangatkan HIKMAT kali ini. Jom memeriahkannya!




Satu lagi aktiviti anjuran Biro kebudayaan,Kesenian & Sukan KPT. Maklumat seperti yang tertera di iklan. Jaulah Sinai satu kerugian jika anda tidak sertai. Sekian.


p/s: Semuanya memerlukan komitmen yang tinggi...Doakan kesemua aktiviti ini berjalan dengan lancar hendaknya...

Saturday, February 6, 2010

Amalkan budaya nasihat

Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.

JANGAN menjadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. - Gambar hiasan


DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.

"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP