Keluargaku Hidupku
Alhamdulillah, Jumaat nan indah datang kembali. Hari yang lebih dikenali dengan gelaran penghulu segala hari. Hari yang diisi dengan selawat atas Baginda Nabi Muhammad SAW. Hari yang penuh berkat dengan bibir yang dibasahi zikir dan bacaan serta tadabbur daripada Surah Al-Kahfi. Hari segala hari yang mempunyai seribu rahsia keistimewaannya. Ayuh, kita hidupkan hari ini dengan segala amalan kebajikan sebagai bekalan di hari nanti.
Sungguh indah hari ini jika bersama keluarga tersayang di tanah air. Kebiasaannya, permulaan pada pagi yang hening ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran daripada Ayah tersayang. Tika ini, nahaslah jika masih ada yang berbaring lena dalam selimut masing-masing. Didikan untuk bangun awal Subuh telah dipupuk sejak kami masih kecil. Kami sama sekali dilarang daripada tidur selepas waktu Subuh.
Mak tercinta bangkitnya lebih awal daripada semua makhluk hidup di rumah. Subhanallah, masih belum saya temui wanita yang hidupnya hanya untuk suami dan anak-anak melainkan wanita yang telah mengandung dan melahirkan saya ini. Ketika ayah tenggelam dengan nikmat dan tadabburnya dengan Kalamullah, Mak berselangseli menyiapkan sarapan dan juga mengejutkan kami yang masih tidur. Mak amat masak dengan perangai Ayah yang tiada tolak ansur bilamana mengetahui ada antara kami yang masih belum bangun daripada tidur.
Sahutan kicaun burung dan bunyi ayam yang 'meminta' sarapan menambahkan lagi seni kehidupan pagi kami. Waktu itu mentari yang cantik telah memancar sinar paginya dengan megah. Sekarang, rumah kami tiada lagi pepohon kayu untuk menghalang sinar matahari daripada terus menerangi teratak kami selepas diberi sentuhan nafas baru oleh ayah 2 tahun yang lalu. Binaan konkrit kukuh untuk menyokong tanah menjadikan kawasan sekitar rumah kami lebih luas.
Setiap pagi, jarang sangat untuk kami ketinggalan bersarapan bersama-sama. Jumaat dikatakan hari wajib kerana kepulangan kakak dan abang yang bekerja sekitar Terengganu untuk bercuti. Keakraban, ikatan dan hubungan kami amat susah ditafsirkan. Darah Mak dan Ayah yang mengalir tidak mampu untuk menjarakkan kami, inikan pula untuk memisahkan kami.
Selesai sarapan, masing-masing sedia dengan tugasan tertentu. Lelaki ke belakang rumah dan sekitarnya, membersih segala jenis sampah dan mengemas barang-barang di stor. Perempuan dengan tugasan di dapur juga menjemur kain. Jika kepulangan penuh kami anak beranak, semestinya lauk tengah hari tersebut teramat istimewa. Alhamdulillah, ada di antara kakak yang pandai memasak. Amat pandai memasak saya kira. Tidak hairanlah sekarang ada yang membuka perusahaan kedai makan secara kecil-kecilan.
Usai Solat Jumaat, hidangan siap tersedia menanti. Adat di rumah, perlu menunggu sehingga Ayah pulang terlebih dahulu. Ayah sebagai imam selalu balik agak terkemudian daripada jemaah yang lain untuk menguruskan hal berkaitan masjid. Ayah yang sudah tersedia maklum akan memberitahu awal-awal untuk tidak menunggunya jika hari itu ada jemputan tahlil dan sebagainya.
Ini hanya berlaku di Malaysia, bersama keluarga yang saya dan adik beradik membesar bersama. Pesanan Ayah untuk kami adik beradik menjaga hubungan antara kami amat diambil cakna oleh semua. Ketaatan kami pada Mak Ayah diharap kekal dan semakin baik dari hari ke hari. Impian kami untuk melihat mereka berdua mampu mengerjakan Haji yang mabrur sebelum nafas terakhir mereka diharap menjadi kenyataan, insyaAllah.
Tiada yang lebih diimpikan manusia yang berakal melainkan sebuah kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kebahagian untuk mendambakan cinta Allah dan RasulNya. Kehadiran anak-anak dan dihiasi lagi dengan telatah cucu-cucu yang nakal hampir mengapai Rumahku Syurgaku. Semoga Allah memperbaiki dan menjaga hubungan antara kami semua dan meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kami kepada Allah SWT dalam mencari keredhaan hidup di dunia dan Akhirat.
Mode: Ingat keluarga amat!
0 comments:
Post a Comment