Tuesday, July 31, 2012

Ramadhan 1433H

Berbaki dua bulan lagi, maka genaplah setahun sepeninggalan saya dari tanah mulia yang berdebu. Benar, arahnya berpusing bagaikan 360 darjah. Kehidupan yang memasuki era kerjaya amat membezakan saya dengan kehidupan setahun dulu. Saya, jujurnya amat merindui tika waktu menjadi pelajar yang 'mencari'. Kini, waktu yang sempit ini bagai mencuri minit dan jam yang saya miliki dulu.

 Ukuran hidup ketika ini berbeza. Suasana juga berbeza. Masih mencuba mengekalkan momentum untuk 'mencari'. Bukan hanya melapiskan alasan yang setebal kitab thurath dalam pengajian dahulu. Saya tidak akan berhenti di sini untuk terus 'mencari', bahkan saya akan memerah keringat yang ada untuk cuba meletakkan diri dalam pencarian hingga akhir nafas yang ada. Mengharapkan nafas yang terhembus akhir di persada lapangan 'pencarian', bukan di persada tilam empuk berlapik baldu.

Dalam terus ke hadapan, perlu pelbagai tribulasi yang berdepan. Pasakkan tapak mencari sokongan Ilahi agar terbela dari segala tipuan duniawi. Angin beracun yang tiada mampu dihalangi makin terus meniup, mencari mangsa yang leka khayal akan nyamannya hingga memburuk busuk. Mencari penawar, merawat luka bekasan racun yang berbisa hingga kadangnya tersungkur lemah ke bumi.

Ramadhan kali ni, merubah corak hidup seorang lelaki biasa agar terdidik dengan hasil luar biasa. Bimbing dan bawalah kami ke jalan-Mu yang benar ke Syurga-Mu yang kekal abadi. Allah...rindui masa lalu yang 'mencari'.



 

Saturday, June 9, 2012

Azam baru Paksi Tunjang

InsyaAllah jika diberi peluang dan ruang, saya akan cuba menghasilkan nukilan baru. Keterbatasan waktu dan internet dihiasi pula dengan bunga-bunga malas merencatkan perjalanan blog ini. Soon, akan datang...




 

Tuesday, February 7, 2012

Sollu 'Ala Khairil Anam...





♥ ...Tanda kasih Rasulullah صلى الله عليه وسلم buatmu wahai umat... ♥

❀ Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها berkata: Tatkala aku melihat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم berada dalam keadaan baik, aku berkata: Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah untukku.

♥ Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pun mendoakannya: Ya Allah! Ampunilah dosa ‘Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi da
n yang terang-terangan.

❀ Lalu Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها ketawa kegembiraan sehingga kepalanya jatuh ke riba Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kerana terlalu gembira.

♥ Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bertanya: Apakah doaku menggembirakanmu?

❀ Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها menjawab: Kenapa tidak, aku begitu gembira dengan doamu itu.

♥ Lantas Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pun bersabda: Demi Allah! Inilah doa yang aku panjatkan untuk umatku dalam setiap solat.

(Hadith ini telah diriwayatkan oleh al Bazzar dan rijalnya (perawinya) adalah rijal yang sohih, melainkan Ahmad ibn Mansur al Ramadi merupakan seorang yang thiqah. (Demikian juga sebagaimana yang disebutkan di dalam Majma’ al Zawaid 9/243).


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
kredit:Fattabiouni

~Lama tak menyapa di ruangan ini. Buat-buat sibuk.he~



Wednesday, January 18, 2012

Sinar yang TERANG

Setelah lama dibiar sepi tanpa bicara, hari ini baru saya berpeluang mencoret sesuatu sekadar luahan kata yang boleh saya kongsikan bersama.

Kurang lebih 3 bulan sudah saya kembali ke tanah air kelahiran setelah mencedok sedikit mutiara di tanah para Anbiya' yang berdebu emas. Berbekalkan dengan cita-cita dan impian yang tertinggi untuk mendaulatkan agama yang satu ini, saya cuba berinteraksi dengan semua golongan masyarakat.

Hasilnya, saya seorang manusia yang sangat kerdil dan halus. Jauh lagi perjalanan yang berada di hadapan untuk saya terokai. Saya rasakan, di dunia saya yang paling kurang ilmunya. Di Akhirat, saya yang paling kurang amalnya. Ini merupakan satu cabaran yang sangat hebat untuk diri saya bagi melakukan anjakan kehidupan yang pantas mengikut lunas-lunas Islam yang tiada dua ini.



Bilamana saya mendapat khabar keputusan yang dukacita daripada permohonan kerja sebelum ini, sedikit sebanyak semangat saya tercalar.Setakat ini, sudah dua permohonan saya ditolak.

Sedikit ujian yang kecil ini sudah mampu mengoyahkan hati ini menampakkan kurangnya kekuatan yang saya miliki sebenarnya. Walaupun saya amat pasti ada hikmah besar yang berselindung disebaliknya, saya mengharapkan ujian seperti ini mampu saya hadapi dan tangani dengan berlapang dada pada masa akan datang.

Rencah hidup pastinya menambahkan lagi kelazatan dan kenikmatan hidup jika ia dipandu dengan hanya mencari bekal semata untuk kehidupan abadi di sana.

Hidup! Ia penuh dengan seni yang abstrak. Jalannya lurus, kadang bersimpang siur juga berlopak. Hanya pemandu yang berhati-hati berjaya sampai ke destinasi tanpa kecelakaan dalam perjalanannya.


Persoalannya adalah. "Where will you go...?"


Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun). (Al-Israa' 17:20)

Monday, January 2, 2012

Coretan Awal Masihi

Tahun 2011 meninggalkan seribu satu ingatan dan pengalaman. Kini, tahun 2012 yang kononnya diramal 'Tahun Bencana' tiba dengan pelbagai upacara dan sambutan.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, saya tidak lagi menerima kedatangan awal tahun Masihi ini di Mesir yang jelas amat berbeza 'auranya'. Bukan menidakkan kehebatan di tempat sendiri, akan tetapi benarlah kata sesetengah orang 'lain padang, lain belalangnya'.

Saya berada di Penang ketika ramai manusia tertunggu-tunggu dengan 'countdown' yang menjadi tradisi kini. Ada sambutan konsert, pesta, tarian, dll hanya untuk meraikan ketibaan tahun yang kita sendiri tidak pasti bagaimana coretan dan kisahnya nanti.

Bertuah bagi mereka yang berpeluang menerima tahun ini dengan bual bicara bersama Ust Azhar Idrus yang berlangsung di Shah Alam dibanjiri kira-kira 80 ribu orang sepertimana yang dilaporkan.

Kembali pada ceritera saya tadi... Saya bersama dua orang sahabat ketika itu letih setelah mengunjungi rakan-rakan di sana, pulang dengan perut yang penuh diisi dengan ikan Siakap 3 rasa, Tom Yam, dan Kailam Ikan Masin yang amat lazat...err,sebab kami makan lewat. Waktu perut sangat hebat dengan bunyian muzik 'lapar'.

Tidak berminat (err,btul ke ni?) dengan pesta dan konsert yang disajikan di Negeri Pulau Pinang itu, kami pulang ke rumah untuk mandi dan Zzzzz...Saya pasti sebelum saya terlelap, terdengar letupan bunga api dan hiruk pikuk jeritan manusia yang gembira barangkali dengan tahun baru yang bakal mereka hadapi selepas ini.

Perjalanan saya dan yang bermula di Kuantan, Johor dan Melaka disambung ke Penang dan Kedah berakhir dengan kedatangan awal tahun Masihi 2012 yang saya doakan moga tahun ini dipermudahkan segala bentuk perjalanan kehidupan saya dan anda semua.

كل عام وأنتم بخير

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP