Jika S.A.H.A.B.A.T itu...
Sahabat yang baik adalah impian setiap insan tidak sempurna seperti saya. Kehadiran mereka penting selagimana jika ia membantu kepada ke arah kebaikan dan keredhaan Allah. Siapa itu sahabat bagi kamu, adakah dia mesti seorang yang tidak dapat tidak elok dipandang rupanya, penuh duit poketnya, seorang yang dikenali ramai, dan sewaktu dengannya. Ataupun sahabat itu seorang yang dekat dengan kamu, seorang yang ada disamping kamu bila kamu berada dalam kesusaahan, yang menegur kamu jika lalai dan alpa dan sewaktu dengannya...
Saya seorang yang amat bertuah dikelilingi sahabat-sahabat yang kedua itu. Mereka menghibur hati kala duka. Mereka pandai menilai baik dan buruk saya seadanya. Mereka memahami angin baik dan buruk saya. Jika saya ditimpa sesuatu kesulitan mereka dapat menghidu ibarat bangkai yang sedang membusuk. Mereka datang, menghalau pergi risau dan bimbang dan menghadirkan perasaan lega dan tenang.
Kehidupan di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Kita tak mampu hidup keseorangan dengan gembira tanpa sokongan daripada sahabat. Sahabat datang dan pergi. Beruntunglah sesiapa yang mendapat sahabat yang diberi sifat mahmudah tapi jangan sekali-kali fikirkan yang anda seorang yang rugi jika memiliki sahabat yang bersifat mazmumah.
Pepatah ada mengatakan " berjalan bersama orang yang membawa bangkai, semuanya akan berbau bangkai ". Jika demikian jadi masalah untuk kamu mendekati sahabat sebegitu, ia suatu kerugian bagi kamu. Disampaikan Islam ke dunia untuk tidak membezakan sesuatu kecuali ketaqwaannya kepada Allah Taala. Kenapa tidak kamu yang ingin berjalan bersama pembawa bangkai tersebut tidak menutupi bau bangkai itu dengan bau kasturi dari tubuh badan kamu. Bukan saja menghilangkan bau bangkai tersebut dalam masa yang sama membuatkan pembawa bangkai yang tadinya berbau busuk terpesona dengan wangian dari kamu. Secara tak lansung juga akan terpalit ke badannya hingga tanpa dia sedari hilang bau busuk dari badannya.
Jika tiada sahabat seperti itu, saya masih menjadi seorang pembawa bangkai barangkali. Jika masing-masing menjauh dari golongan seperti ini, siapa yang ingin mendekati mereka untuk membawa mereka jauh dari lorong gelap? Adakah orang yang sama membawa bangkai. Hingga menambahkan bau yang dah tersedia busuk itu? Jika dikatakan, bauan yang sedikit tidak membawa kesan apa-apa kepada pembawa bangkai yang sudah busuk dan memburuk. Kita sebenarnya berada pada pendirian yang sombong dan amat dangkal jika itu pilihan jawapan kita. Jika difikir, kenapa titisan kecil air mampu memberi kesan lekuk dan akhirnya membelah batuan keras. Sudah banyak tamsilan di sekeliling kita yang boleh jadikan pedoman. Semua dari kita adalah dae'i. Terpulang kepada kekuatan jiwa seorang dae'i untuk hanya menjadi dae'i yang biasa-biasa atau dae'i yang luar biasa.
Dalam menjalin persahabatan, kita tidak hanya memanfaatkan kebaikan sahabat tapi kita harus saling membantu agar kita semua boleh mendapatkan atau boleh menuju jalan yang diredhai. Peri pentingnya untuk difahami setiap orang bahawa kita tidak perlu memilih-milih dalam persahabatan. Tidak rugi bersahabat dengan sesiapa sahaja kerana sahabat itu manusia biasa seperti kita. Apabila kita bersahabat dengan seorang yang kurang agamanya, maka kitalah yang perlu membimbingnya agar kehidupan kita sama-sama diredhai Allah. Itulah pentingnya sahabat dalam kehidupan. Bukan hanya tahu mengutuk seseorang itu tetapi kita seharusnya cuba mendekatinya agar diri kita tidak mudah tertipu dengan personaliti seseorang. Insafi diri kita, baiki pandangan kita dari merendahkan martabat seseorang hanya melalui pandangan mata kasar tanpa kita selidikinya terlebih dahulu.
Sahabat...Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu. Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentinga persahabatan. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Untuk semua, saya pohon jutaan kemaafan jika saya tidak mampu jadi seorang sahabat yang baik untuk anda. Saya masih berusaha untuk perbaiki diri hingga saat waktu kematian saya.
Jika saya buat anda jauh hati dari kebaikan, nasihatilah saya. Jika saya melalaikan anda, peringatilah saya. Jika saya terpesong, bimbinglah saya...
0 comments:
Post a Comment