Wednesday, December 29, 2010

Tinta adik untuk abang

Ucapan terakhir beliau mengimbau saat-saat kehidupan bersama diungkit kembali. Sekalung penghargaan diucapkan. Sukar sekali untuk mendengar kalam sebegini 'ikhlas' daripada beliau. Selang beberapa patah perkataan, beliau terdiam. Hilang kata-kata barangkali, mungkin juga menangkis kepiluan yang bersarang dalam hatinya. Saat itu semua diam, patuh...

"Ok la tu, doa pulak lah. Lewat dah ni" Keheningan ini dipecahkan oleh suara salah seorang di antara kami.

Amin...amin...amin...

Itu doa paling sayu bagi saya. Titip-titip doanya kali ini, lain. Masing-masing masih kekal di posisi berhadapan dengannya. Diakhiri dengan selawat atas junjungan Baginda SAW, doa itu disudahi dengan berat. Kerna itu petanda, kami makin hampir pada perpisahan.

"Lepas wida3 boleh masuk doh. Kalau masuk awal mungkin tak dok masalah dengan barang-barang" Tegas kata-kata dari Mat. Beliau mengiyakan sambil tersenyum. Tidak seperti senyumannya yang selalu menghiasai hari-harinya bersama kami sebelum ini. Hampir kesemuanya bersalaman dan berpelukan. Tanda pengakhiran di Lembahan Nil.

Sampai giliran saya...

Dari awal, saya memerhati pergerakan dan tindakannya. Bermula ketika bertolak dari Shoubra lagi saya perkemaskan sudut khusus untuk beliau. Pertuturannya, ketawanya, bisikannya, lirikan matannya. Tidak terlepas dari penglihatan manusia saya...Aduh, bisa sungguh saat perpisahan itu.

"Eh, cepat la salam dengan aku. Tak dok orang doh ke hok nok salam dengan aku ni" Huluran tangannya saya biarkan. Masih dengan guraunnya. Beliau beralih pada teman sebelah saya. Kembali semula kepada saya. Saya hulurkan tangan dan beliau menyambut sambil tersenyum. Pantas saya memeluk...Kemas. Seolah itu pertemuan terakhir kami.
"Maaf banyok-banyok ustak..."
Saya berbisik lembut di telinganya...

Di saat itu, tumpahnya air mata lelaki paling ceria dalam hidup saya. Lelaki yang menjadi kawan...juga abang saya. Bertahun dengannya, inilah kali pertama saya melihatnya sebegini rupa. Saya hampir turut sama dengannya. Tenggelam dengan emosi. Lupa akan akhowat bersebelahan dengan kami. Dialih kedudukan kami supaya tidak terlihat tangisan lelaki ini. Allah...Saya akhirnya akur, amat payah menahan air mata di saat jiwa yang dipenuhi kesayuan.

Lama kami berkeadaan begitu, amat sukar ingin lepaskan beliau pergi. Kisah hidup kami berjilid jika dibukukan. Berpuluh novel hangat boleh dipasarkan...Tapi, lebih baik disimpan untuk kenangan sebagai sokongan 'kaki' untuk berpijak di sini.

Beliau jauh kelihatan, melambai sayu. Perpisahan seorang senior yang amat disenangi. 5 tahun kisah hidupnya tercoret di sini. Kepulangan julungkali ke Malaysia setelah penat lelahnya berhasil dinatijahkan dengan segulung ijazah.

Moga kehidupan kamu lebih baik dari sebelumnya. Doa kamu untuk kami amat diperlukan. Allah, jagalah beliau di bawah rahmat-Mu.

Untuk beliau...Ustaz Akhori Ghazali, BA (Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar. Selamat tiba pada 27 Disember 2010 di tanah air, Malaysia.





Tuesday, December 21, 2010

Kemalangan...

Tadi selesai menatap keratan akhbar online yang memaparkan kemalangan meragut nyawa 25 pelancong dari Thailand. Sungguh pilu melihat keadaan bas yang remuk. Kemalangan tragis itu amat mengejutkan banyak pihak.

Rentetan kemalangan melibatkan bas sering berlaku sejak kebelakangan ini. Pengalaman jiran saya yang hampir setahun lumpuh akibat kemalangan bas yang dinaikinya ketika pulang dari menziarahi anaknya di Johor Bahru tidak mendapat keprihatinan pihak syarikat bas berkenaan amat mengecewakan. Pihak yang bertanggungjawab seolah-olah melepaskan beban di atas bahu pelanggan masing-masing. Tiada lawatan susulan diterima jauh sekali pampasan samaada berupa wang tunai atau khidmat perubatan.

Pengalaman menaiki bas ekspres memang diakui punca kemalangan kebanyakannya disebabkan kecuain pemandu bas. Jika perjalanan pada waktu malam, kelajuan bas meningkat 100% dari kebiasaan pada waktu siang hari. Siapa tidak mahu untuk cepat sampai ke arah tujuan, tapi jika nyawa yang digadaikan...Tak berbaloi sama sekali.

Pada jangka masa akan datang, tidak mustahil Malaysia mencatatkan kematian tertinggi disebabkan kemalangan di atas jalan raya jika tiada penyelesain diambil dalam waktu terdekat ini. Wanauzubillah...

....................................................................................

Bulan 12 atau Disember ini merupakan bulan yang paling ramai kenalan saya yang menyambut tarikh kelahiran masing-masing. 2 orang adik saya, Nurul dan Nomaliana, dan beberapa orang kenalan rapat di sekolah menengah dulu.

Moga kalian berada dalam Rahmat dan Berkah Yang Maha Esa dan dipanjangkan usia dengan kehidupan yang bahagia dunia akhirat...

Thursday, December 9, 2010

Mengapa berkecuali?

Sebentar tadi baru sahaja selesai perbincangan muhibbah antara kami dengan wakil daripada pihak AJKT Keluarga Penuntut Terengganu(KPT), Ustaz Ahmad Salikin. Intipati perbincangan yang berkisar mengenai isu hangat pegawai Yayasan Terengganu, Ustaz Kamal Abdullah dan mahasiswa Terengganu.



Kedatangan wakil dari pihak KPT telah dijangkakan lebih awal ekoran keengganan kami di pihak mahasiswa Terengganu Shoubra untuk turut sama menyertai tandatangan memorendum bantahan terhadap sikap tidak profesional pegawai yayasan tersebut.


Jujurnya di pihak kami,tiada bangkangan secara jelas atas penganjuran memorendum ini. Cuma yang menjadi persoalan adalah pencerahan terhadap isu ini yang kurang kami terima. Kami banyak mendengar 'cakap-cakap kedai kopi' yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk tidak turut serta selagimana tiada penjelasan jelas dari pihak yang menganjurkan memorendum tersebut.


Di sini tiada masalah berkaitan pentingkan diri sendiri. Keputusan untuk berkecuali daripada permasalahan ini juga adalah bertujuan untuk meredakan keadaan yang telah tersedia panas. Juga tiada paksaan daripada mana-mana individu dalam keputusan ini. Kami sepakat berikutan beberapa perkara yang perlu dirujuk kembali oleh KPT sebelum mengambil apa-apa tindakan susulan seperti memorendum bantahan ini.



Kejadian akhir November baru-baru ini kemuncak pada segala-galanya. Pegawai yang diberi tanggungjawab sebagai amil zakat dikatakan bertindak tanpa mengikut kredibiliti sebagai seorang amil dan juga pegawai yang menjaga kebajikan pelajar khususnya mahasiswa Terengganu. Ketidak profesionalan ini menimbulkan kemarahan segelintir mahasiswa yang mendakwa teraniaya oleh sikap pegawai tersebut. Berlaku sedikit kekecohan yang hampir membawa kepada pergaduhan di antara kedua-dua pihak.



Kami di pihak Shoubra melihat dari neraca yang lebih adil atas kejadian live yang tidak pernah dirancang itu. Kita ketepikan dahulu silap dan 'dosa' yang dilakukan pegawai@amil bekas ADUN Sura,Dungun itu.


Di pihak mahasiswa, kita sebenarnya telah menyalahi status kita sebagai orang Melayu Islam yang sedang belajar Agama Islam di tanah berkat Mesir dan di sebuah pengajian terulung, Al-Azhar as-Syarif.



Apabila berlaku hal yang demikian, kita sebenarnya telah meletakkan emosi dan amarah mengatasi batasan akal yang sihat dan ilmu agama yang tinggi yang dimiliki setiap mahasiswa agama. Disebalik kejadian ini, berlaku beberapa tindakan tidak patut yang telah dilakukan seperti yang telah tersedia maklum(tidak perlu saya sebutkan di sini). Tindakan yang saya kira amat tidak berbaloi ini mungkin dianggap protes 'belakang'. Mungkin juga ingin dilihat sebagai hero dalam permasalahan pegawai yang tak kunjung sudah ini. Mungkin juga kerana terlalu fed up dengan respon daripada pegawai yang mengecewakan dan banyak lagi kemungkinan-kemungkinan yang kita merasakan perbuatan itu 'patut'.




Kesedaran mengenai hormat menghormati juga terus hilang ketika adegan itu berlaku. Jika kesabaran kita terhadap pegawai itu hampir terhakis, kenapa tidak kita lapiskan lagi dengan sedikit haknya sebagai seorang tua yang tak terdaya atau yang tersesat membuat pilihan. Gantikan kemarahan melampau dan kebencian menggunung kita dengan ketenangan sungai Nil yang mengalir dalam tubuh badan kita. Suburkan peringatan untuk mendoakan hidayah kepadanya yang kita rasakan telah jauh daripada kebenaran. Kita zikir keburukannya yang seolah lebih jahat daripada rejim Israel, hingga terhapus debu-debu kebaikan yang telah beliau berikan.



Saya yakin beliau seorang Islam yang masih menunaikan rukun Islam dan Iman yang sama turut kita yakini. Tidakkah kita ketahui haknya sebagai Muslim seperti kita. Kita create sebuah medan khusus (Facebook) untuk mengutuk dan mengeji beliau yang terang-terang menyerang peribadi seseorang yang semua antara kita tahu apakah hukum agama mengenainya.


Marah dengan kenyataan saya? Sabar. Jika anda rasa tiada ruang dihati anda mengakuinya, saya doakan moga anda diberi peluang. Sedarkah tindakan kita baru-baru ini mencetuskan satu lagi 'modal' baru untuk mereka yang telah lama memerhati dan mencari peluang untuk menjatuhkan kita mahsiswa pengajian Islam? Sedarkah kita secara tak langsung tindakan keras kita itu telah mencalar imej Islam yang membawa kepada pendamaian dan muamalah secara berhikmah? Sedarkah kita telah terjerumus masuk ke dalam perangkap yang telah dirancang?He's politician!



Kita jangan burukkan keadaan yang sedang parah. Jika kita tak mampu mencari penawar, paling kurang kita jangan menambah perisa yang boleh merosakkan hubungan baik antara kita. Wujudkan suasana tenteram antara kita yang jauh merantau mencari sedikit ilmu. Jangan bazirkan waktu kita melayan tingkah laku beliau yang sering menyusahkan.



Saya copy paste daripada facebook ustaz nazrul yang tersedia maklum seluruh alam akannya

Masyarakat adalah gambaran syurga & neraka kita kelak..Kalau baik hubungan kita dgn masyarakat maka syurgalah milik kita, kalau buruk hubungan kita dgn mereka maka nerakalah tmpat kita..sebab tue jgn suka cari pasal dengan org..n jgn suka cari kesalahan org lain.. apa salah berbaik sangka sesama kita.. " Petikan kalam ...Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rushdi hafizahullah"




p/s: Setelah perjumpaan tadi,kami jelas dengan keadaan sebenar dan kami juga akan turut serta dengan bantahan tersebut atas ketidak profesional pegawai dalam bidang tugasnya.Sekian dimaklumkan.

Sunday, November 28, 2010

SPM terakhir

Tarikh 20/11/2010; merupakan hari yang bahagia buat sahabat yang pernah berjuang bersama di Lembahan Nil ini suatu ketika dulu. Mengakhiri zaman bujang yang telah lama diimpikan mereka kini telah menjadi kenyataan. Sekalung tahniah diucapkan kepada akhi Amir Azamuddin dan zaujah, akhi Hafizi dan zaujah, akhi Sofiuddin dan zaujah, akhi Hasyim dan zaujah serta Siti Fahimah dan pasangannya. Tidak ketinggalan kepada adik junior saya, Mohd Raziqin dan zaujah yang selesai melangsungkan akad nikah pada 26hb November 2010 bertempat di Musolla Asrama Terengganu Kaherah, Mesir. Pernah bersama-sama menyelusuri zaman tumbesaran pramatang di Sek Men Agama Mahmudiah Kuala Berang pada zaman 'gelap' dahulu kala.

~Barakallahulakuma wabaraka 3alaikuma wajam3abainakuma fikhair~



Mereka menyelesaikan sebahagian iman mereka dengan ikatan suci perkahwinan, membina masjid yang bakal mereka bajai dengan keimanan yang semakin utuh pada Sang Pencipta cinta, Allah SWT. Bagi mereka di bahu kini bertambah bebanan tanggungjawab yang perlu digalas melayari bathera perkahwinan yang penuh onak duri. Kini trend masyarakat dibiasakan dengan pencerain walhal baru setahun jagung di alam perkahwinan dengan sebab yang remeh temeh dan kekadang tidak terfikir oleh akal. Diharap dengan ilmu akhirat dan akal yang dimiliki mengatasi emosi ilusi yang sementara.



SPM(Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) 2010.


Adik bongsu saya, Siti Nurul Khairaimi dalam fatrah peperiksaan yang telah pun saya lalui sedikit masa dulu. Perasaan yang pelbagai, debaran yang memenuhi jiwa raga kekadang menyempitkan ruang saraf akal pernah menguasai diri saat yang kini berganti dilalui adik saya. Didikan sekolah yang mengajar kita untuk bersiap sedia dalam setiap imtihan mencorakkan pemikiran yang kontra. Persedian rapi yang diharap cemerlang manjadi sumpahan pada sweet 17. Pihak yang berwajib terutama guru-guru di sekolah diharap mengimbangi usaha manusia dengan tawakkal dan doa kepada Allah SWT. Setinggi daya manapun kita hamba yang lemah ini tidak mampu untuk memberi kesan coretan taqdir melainkan dengan izin Allah semata.



Diakui dengan jujurnya, keputusan SPM saya tidak boleh dijadikan contoh terbaik untuk adik saya dan adik-adik lain di luar sana. Bukan untuk berdabik dada mengatakan "Saya lebih dulu makan garam daripada kamu". Tidak pernah terlintas untuk bangga diri kerana dapat melihat dunia ini terlebih awal daripada adik-adik. Tika ini, yang ada hanyalah harapan sebolehnya jadikan saya dan orang-orang terdahulu sebagai contoh ikutan dan pedoman selagimana ia molek dan boleh diikuti. Dan jauhi segala tingkahlaku buruk kami menjadi sempadan yang boleh dijadikan peringatan yang jelas supaya jangan lagi diulangi kesilapan yang pernah kami buat dulu.


Akhirnya, moga di kesempatan ini kalian dapat mendoakan adik-adik kita ini cemerlang bukan hanya SPM bahkan yang lebih penting mampu membina syakhsiah remaja yang unggul. Mengharapkan lahirnya Imam Syafie,Imam Nawawi,Khalifah Umar Abd Aziz, Imam Hassan al-Banna, Salahuddin al-Ayubi edisi akhir zaman menjadi ikon pemuda yang akan melaksanakan Syariat Islam seluruhnya.



~Bittaufiq wannajah...fighting3x!~




Sunday, November 21, 2010

Akhirnya...


Telah sebulan berlalu, keberadaan di tanah berdebu hitam yang semakin menghampiri es-syita (musim sejuk) dan meninggalkan el-khorif(musim luruh) belum mampu meninggalkan kesan 3 bulan di tanah air, Malaysia. Baru seketika rasanya berlepas pulang ke Malaysia untuk pulang bercuti, kini kembali setelah 3 bulan bersama keluarga tercinta. Waktu yang berkualiti lebih penting berbanding kuantiti. Amat rugi bagi sesiapa yang siakan waktu mereka dalam perkara yang tidak membawa sebarang manfaat. Dalam Surah al-'Ashr, antara surah pendek di dalam al-Quran telah termaktub akan perihal peri pentingnya waktu(masa). Walaupun sekadar 3 ayat yang ringkas, akan tetapi maknanya merangkumi keseluruhan kehidupan manusia. Mengenai waktu, pengisian juga penting untuk menjamin kualiti waktu seseorang. Saya berdoa agar setiap waktu yang saya dan anda jalani sepanjang kehidupan di dunia ini tidak termasuk di dalam golongan orang-orang yang rugi.



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


وَالْعَصْرِ (١)إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢)إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣)


1. Demi masa. (QS. 103:1)

2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, (QS. 103:2)

3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)



Emm, berbalik kepada cerita asal saya tadi. Sepurnama di sini tiada beda dengan 2 tahun kebelakangan ini. Cuma yang pasti, 'abang' saya semakin berkurangan. Kepulangan mereka setelah bertahun-tahun menjadi musafir ilmu kini telah pulang berkhidmat untuk tanah air. Ketiadaan mereka walaupun telah dijangkakan, ianya sedikit sebanyak memberi kesan pada kami 'adik-beradik'. Patah tumbuh hilang berganti. Kedatangan adik-adik baru sekurang-kurangnya meredakan sedikit rasa 'kehilangan' buat kami. Ahlan wasahlan wamarhaban bikum biduyufil ilm diucapkan kepada mereka.

Aidiladha juga dikenali sebagai Raya Korban kembali dengan jutaan kaum Muslimin di tanah suci Mekah untuk mengerjakan Rukun Islam yang ke-5. Didoakan haji mereka diterima oleh Allah Taala sekaligus mendapat haji yang mabrur, InsyaAllah. Ayah dan emak saya masih tidak berpeluang untuk ke sana. Bak kata mereka,"takdok rezeki lagi la tu". Pohon doa anda supaya kedua ibubapa saya diperkenankan Allah sebagai tetamu-Nya ke Haramain pada tahun hadapan, insyaAllah.



Sambutan aidiladha di seluruh dunia tidak banyak bezanya seperti mengadakan sembelihan korban haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing dan lain-lain. Saya dan sahabat mengambil peluang pada Aildiladha kali ini untuk turut serta dalam gotong-royong melapah daging di peringkat BKAN dan DPM. Mahasiswa Terengganu Mesir telah 'pereboh' seekor unta, 13 ekor kambing dan 2 ekor khoruf. Manakala Mahasiswa Qiraat, seekor unta dan 9 ekor kambing. Alhamdulillah, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama merasai pengalaman dan kenikmatan melapah daging. Pepatah arab mengatakan

"من لم يذق لا يدري"

Hari ini, kuliah telah dibuka setelah cuti bersempena dengan perayaan Aidiladha. Manakala Haji dan juga Hajjah ada yang telah kembali ke tanah air masing-masing setelah selesai menunaikan ibadat di tanah suci Kota Mekah dan Madinah. Akhir kata, jutaan kemaafan untuk kemaskini blog yang tertangguh dek masalah akses internet dan kesibukan sepanjang percutian sebelum ini. Terima kasih kerana masih sudi bertamu di Ceritera @MBe dan kali ini hanya cerita diri semata.

~Sambil zikir sambil fikir~



p/s:

Mohon buat solat hajat dan doakan keselamatan dan kesihatan untuk ustazna murabbiina ustaz Azhar Idrus. Sekarang berada di wad CCU Hospital Kuala Terengganu. Perlu berehat secukupnya...

Sunday, July 18, 2010

2 in 1




Karnival DAMAI 2010

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) dengan kerjasama Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) akan menganjurkan Karnival DAMAI 2010 pada 18, 19, 20 & 21 Julai 2010, hari Ahad hingga Khamis bertempat di Dataran Hayyu Asyir.

> Pelbagai aktiviti menarik yang akan dianjurkan, antaranya:-

Pameran – Kuiz & Pertandingan – Acara Sepak Takraw – Sambutan Ulangtahun KPT & BKMIP – **Gerai Jualan Bazar – Malam Kesenian – dan banyak lagi acara-acara menarik menanti pengunjung-pengunjung karnival, nantikan!!

.......................................................



Travelog Syahadah, buah tangan sulung daripada seorang muallaf yang saya amat hormati secara peribadi dan amat insafi kisah pengalaman hidupnya. Ranjau seorang yang sedang mencari fitrah hingga menjadi Muslim kini berjaya dihasilkan melalui sebuah buku. Sudah lama hajat dan impian ustaz Rasyidi ini akhirnya dimakbulkan Allah Taala. Segala perjalanan yang dilaluinya dibukukan untuk berkongsi kisah seorang anak Sarawak yang berasal daripada keluarga Kristian yang taat. " Ayah saya seorang penyembelih babi di kampung...Apabila saya ajukan keinginan untuk menjadi seorang Muslim kepada keluarga, ayah saya amat marah dan mengejar dengan parang panjang sembelihannya." Ini cebisan kisah yang pernah ustaz Rasyidi kongsikan dengan saya suatu ketika dulu. Saya sedang berusaha keras untuk dapatkan buku ini.Mabruk kepada ustaz Rasyidi atas perkongsian ini, moga kita dapat manfaatkannya bersama. InsyaAllah...


Tuesday, July 6, 2010

Mereka Bertuah

Dengki dengan mereka. Mereka berpeluang ke sana untuk muhadhorah bersama para masyaikh. Mereka tidak pernah rendahkan semangat mereka untuk ilmu Allah. Hari ini mereka ke sana. Membawa jiwa mereka bersama-sama. Rindu dan dahaga dengan ilmu Allah bersama para kekasihNya. Aku langsung tidak berpeluang, di sini sudah jauh dengan kekasiNya, apatah lagi di sana. Moga mereka dapat mendoakan aku seperti mereka. Mempunyai semangat yang tak pernah padam untuk Ilmullah...Doa mereka doa yang mustajab.Ameen.

Moga perjalan kamu ke negara YAMAN dirahmati dan diberkati. Setiap detik kamu adalah berharga dan jadikannya bermanfaat untuk diri dan orang lain. Sampaikan salam al-faqir buat para ahlibaet dan auliyaullah di sana...Saudara Lokman, Farouq, Najmi, dan Yousof. Allahummaftah'alaikum!


Monday, July 5, 2010

Kongsi isi hati

Alhamdulillah, kawan saya Mohd Nazrin telah selamat sampai ke Malaysia. Membawa kenangan yang tidak mungkin dilupakannya. Kehidupan bersama kesibukan kota Kaherah ini memang perlu melalui pelbagai ragam dan mehnah. Saya terlalu letih untuk 'bermain' dengan karenah yang penuh warna-warni mereka. Adapun hikmah 'hidup' bersama mereka tak dapat tidak perlu diakui. Mereka telah mengajar saya seribu satu erti kehidupan...

Khamis lepas diadakan majlis ramah mesra ahlibaet Imarah Salim. Tidak ketinggalan, lepasan Maahad yang seringkali bersama-sama dalam apa jua aktiviti kami. Harga ayam sekarang melambung tinggi. Untuk mengadakan majlis BBQ sebegini memerlukan kos yang agak tinggi. Kerajaan Mesir baru-baru ini telah memutuskan harga kenaikan rokok sebanyak 40%. Langkah itu dikira berbaloi dengan mengurangkan kecenderungan rakyatnya yang merokok di awal usia mereka. Adapun barangan lain seperti ayam, daging, gula, beras dan banyak lagi barangan turut terkena tempiasnya.

Terbaru, sewa rumah yang kini seperti hendak diselaraskan harganya. Kenaikan 200 LE memang terlalu tinggi. Tidak pernah saya kira kenaikan sekaligus yang tinggi seperti ini. Paling tinggi sekitar 25-50 LE setahun. Selepas rundingan dilakukan, harga yang ditetapkan ialah 775 LE termasuk bayaran sebulan air. Kuota hanya dibenarkan seramai 5 orang sahaja untuk setiap rumah untuk Imarah Salim ini.

Sekarang, untuk mencari rumah baru bukan senang. Sekalipun ada, kos-kos kemasukan untuk rumah baru kurang lebih seperti ini juga. Bayaran cagaran, perabot dan lain-lain adalah perkara yang rumit untuk diselesaikan. Seolah-olah berada di persimpangan jalan, kanan dipenuhi onak dan kiri dipenuhi duri...Rabbuna yusahhil!

Maaf untuk perkongsian diri yang remeh ini. Sekadar melepas rasa terpendam dengan karenah segelintir arab yang gilakan dunia. Kagum dengan orang lain yang tenang menghadapi hari sukar mereka dengan senyuman dan gelak ketawa. Baca blog ini, bagus untuk orang seperti saya.:)

Kesabaran yang KUAT membawa ketabahan, kesabaran yang LEMAH membawa kebinasaan. Setiap sesuatu itu bernilai@berharga, nilai manusia pada akalnya, dan nilai akal pada sabarnya...Rabbuna yastur!

Thursday, July 1, 2010

Hanya kamu...













p/s : Klik gambar untuk paparan lebih encem:)


  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP