Friday, April 16, 2010

Wake up in da Morning

Beruntung rasanya saya mempunyai kediaman yang kebetulan bersebelahan dengan pokok-pokok yang menghijau. Amat jarang saya kira untuk menemui kediaman yang redup dan nyaman dengan udara segar terus dari pokok yang menghijau dan rendang seperti ini. Jika dibandingkan dengan kebanyakan rumah sahabat saya yang lain di kawasan ini. Bahkan di kawasan Kaherah ini. Jarang sekali untuk melihat tumbuhan menghijau apatah lagi di kawasan kediaman. Kebanyakannya hanya kelihatan pokok-pokok kecil yang mungkin mengambil masa 5-6 tahun lagi untuk membesar.

Tidak ramai yang ambil peduli dengan kehadiran pokok seperti ini jika berada di Malaysia. Tapi lain jika di sini anda hidup bertahun-tahun lamanya.Hari-hari anda dengan debu yang tak kunjung habis. Musim sejuk jumlahnya tidaklah seteruk musim panas yang kadang-kadang boleh menimbulkan bahaya dengan kehadiran ribut pasir. Dengan wujudnya pokok seperti ini, rumah anda tidaklah 100% bersih dari debu. Tetapi peratusannya akan mengecil dengan halangan daripada dedaun pokok tersebut. Bahkan risiko kesihatan juga lebih terjamin.

Jika bertuah, burung-burung akan menumpang berteduh dengan membina kehidupannya di celahan ranting pokok. Usai Subuh, riuhan siulan anak-anak burung kecil yang merdu meminta sarapan barangkali. Mungkin juga bergurau senda sesama mereka atau mungkin juga sedang mentertawakan manusia di sekeliling mereka yang sunyi sepi kehidupannya selepas Subuh. Jika manusia yang terlepas Subuh pula bagaimana? Haiwan mampu mengenal hikmah di sebalik waktu selepas Subuh. Di situlah terbukanya 1001 pintu rezeki. Bagaimana kita? Saya? Masih dalam tarbiah dengan anak-anak burung yang setiap hari mengajar dan mendidik. Pagi ini sungguh damai terasa. Bangun, mandi, solat Subuh dan hirup udara segar pagi betul-betul berhadapan dengan makhluk Allah yang setia dengan zikir mereka terhadap Pencipta...

'Nikmat' bermimpi selepas Subuh masih mengatasi 'Hikmah' di sebalik waktu selepas Subuh bagi sesiapa yang tertewas. Kamu dan saya masing-masing mampu berfikir. Lebih-labih lagi di hari mulia, penghulu segala hari ini...Mulakanlah dengan solat berjemaah, membaca al-Quran ditambah dengan zikir-zikir mathurat sambil bermuhasabah dengan diri yang kian alpa. Biasakanlah lidah dengan menyebut kalimah Tauhid dan banyakkanlah berselawat dan salam atas Baginda, Ahlibait dan para sahabat. Sebelum Solat Jumaat nanti, persiapkan diri dengan segala amalan sunat dan jika berkesempatan, sediakan waktu untuk membaca al-Kahfi seluruhnya.

Al-Imam al-Baihaqi al-Syafie meriwayatkan dalam kitabnya; Ma’rifah al-Sunan daripada Rasulullah SAW bahawasanya baginda pernah bersabda: Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari JUMAAT. Kata al-Syafie dalam riwayat Abu Sa’id: telah sampai kepadaku bahawa sesiapa membaca surah al-Kahf, terlindung ia dari fitnah al-Dajjal. Kata al-Syafie: dan aku suka memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW pada setiap keadaan (masa), adapun pada hari dan malam Jumaat, lebih-lebih lagi digalakkan. Aku juga suka tilawah surah al-Kahf pada malam dan hari Jumaat…
.................................................................

Tahniah dan takziah untuk pemilihan Badan Pengurus yang baru. Sahabat yang telah dijangka antara yang mendapat undi tertinggi. Berakhir sudah Muktamar Sanawi PMRAM. Terlepas peluang untuk menyertai terhalang dek urusan peribadi yang tak mampu ditangguh. Syabas dan selamat berbakti diucapkan kepada semua dan saya InsyaAllah akan berusaha dengan upaya yang ada bersama sama kalian dalam kerja Islam ini.

Semakin hari nafas semakin semput. Dada semakin berombak kencang. Fikiran bagai ditimpa beban yang memberat. Sejam, seminit dan sesaat terasa makin berharga. 18 hb April. Tarikh yang dikeluarkan untuk Imtihan Syafawi. Untuk hafalan mutun dan al-Quran. Mutun sahaja sudah mampu menghilangkan selera makan dan nikmat tidur kebelakangan ini. Ditambah dengan al-Quran yang...Aduh, malu rasanya dengan usaha tak seberapa. Allah, perbaiki dan kekalkan hafalan kami dan 'hidupkanlah' kami dengan KalamMu...

Ampun maaf jika ada yang terguris dengan lidah yang tak bertulang ini, dengan jari yang tak berfikir, dan mohon kalian doakan kejayaan kami hendaknya...Jazakallah.



2 comments:

org kampung April 16, 2010 at 11:35 AM  

i'alah ust Pa...moga2 tuhan permudahkan segala urusan..didoakan najah dlm imtihan..amiin

@MBe April 17, 2010 at 4:31 AM  

ameen ya Rabb!=)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP