Wednesday, December 29, 2010

Tinta adik untuk abang

Ucapan terakhir beliau mengimbau saat-saat kehidupan bersama diungkit kembali. Sekalung penghargaan diucapkan. Sukar sekali untuk mendengar kalam sebegini 'ikhlas' daripada beliau. Selang beberapa patah perkataan, beliau terdiam. Hilang kata-kata barangkali, mungkin juga menangkis kepiluan yang bersarang dalam hatinya. Saat itu semua diam, patuh...

"Ok la tu, doa pulak lah. Lewat dah ni" Keheningan ini dipecahkan oleh suara salah seorang di antara kami.

Amin...amin...amin...

Itu doa paling sayu bagi saya. Titip-titip doanya kali ini, lain. Masing-masing masih kekal di posisi berhadapan dengannya. Diakhiri dengan selawat atas junjungan Baginda SAW, doa itu disudahi dengan berat. Kerna itu petanda, kami makin hampir pada perpisahan.

"Lepas wida3 boleh masuk doh. Kalau masuk awal mungkin tak dok masalah dengan barang-barang" Tegas kata-kata dari Mat. Beliau mengiyakan sambil tersenyum. Tidak seperti senyumannya yang selalu menghiasai hari-harinya bersama kami sebelum ini. Hampir kesemuanya bersalaman dan berpelukan. Tanda pengakhiran di Lembahan Nil.

Sampai giliran saya...

Dari awal, saya memerhati pergerakan dan tindakannya. Bermula ketika bertolak dari Shoubra lagi saya perkemaskan sudut khusus untuk beliau. Pertuturannya, ketawanya, bisikannya, lirikan matannya. Tidak terlepas dari penglihatan manusia saya...Aduh, bisa sungguh saat perpisahan itu.

"Eh, cepat la salam dengan aku. Tak dok orang doh ke hok nok salam dengan aku ni" Huluran tangannya saya biarkan. Masih dengan guraunnya. Beliau beralih pada teman sebelah saya. Kembali semula kepada saya. Saya hulurkan tangan dan beliau menyambut sambil tersenyum. Pantas saya memeluk...Kemas. Seolah itu pertemuan terakhir kami.
"Maaf banyok-banyok ustak..."
Saya berbisik lembut di telinganya...

Di saat itu, tumpahnya air mata lelaki paling ceria dalam hidup saya. Lelaki yang menjadi kawan...juga abang saya. Bertahun dengannya, inilah kali pertama saya melihatnya sebegini rupa. Saya hampir turut sama dengannya. Tenggelam dengan emosi. Lupa akan akhowat bersebelahan dengan kami. Dialih kedudukan kami supaya tidak terlihat tangisan lelaki ini. Allah...Saya akhirnya akur, amat payah menahan air mata di saat jiwa yang dipenuhi kesayuan.

Lama kami berkeadaan begitu, amat sukar ingin lepaskan beliau pergi. Kisah hidup kami berjilid jika dibukukan. Berpuluh novel hangat boleh dipasarkan...Tapi, lebih baik disimpan untuk kenangan sebagai sokongan 'kaki' untuk berpijak di sini.

Beliau jauh kelihatan, melambai sayu. Perpisahan seorang senior yang amat disenangi. 5 tahun kisah hidupnya tercoret di sini. Kepulangan julungkali ke Malaysia setelah penat lelahnya berhasil dinatijahkan dengan segulung ijazah.

Moga kehidupan kamu lebih baik dari sebelumnya. Doa kamu untuk kami amat diperlukan. Allah, jagalah beliau di bawah rahmat-Mu.

Untuk beliau...Ustaz Akhori Ghazali, BA (Hons) Syariah Islamiah, Al-Azhar. Selamat tiba pada 27 Disember 2010 di tanah air, Malaysia.





Tuesday, December 21, 2010

Kemalangan...

Tadi selesai menatap keratan akhbar online yang memaparkan kemalangan meragut nyawa 25 pelancong dari Thailand. Sungguh pilu melihat keadaan bas yang remuk. Kemalangan tragis itu amat mengejutkan banyak pihak.

Rentetan kemalangan melibatkan bas sering berlaku sejak kebelakangan ini. Pengalaman jiran saya yang hampir setahun lumpuh akibat kemalangan bas yang dinaikinya ketika pulang dari menziarahi anaknya di Johor Bahru tidak mendapat keprihatinan pihak syarikat bas berkenaan amat mengecewakan. Pihak yang bertanggungjawab seolah-olah melepaskan beban di atas bahu pelanggan masing-masing. Tiada lawatan susulan diterima jauh sekali pampasan samaada berupa wang tunai atau khidmat perubatan.

Pengalaman menaiki bas ekspres memang diakui punca kemalangan kebanyakannya disebabkan kecuain pemandu bas. Jika perjalanan pada waktu malam, kelajuan bas meningkat 100% dari kebiasaan pada waktu siang hari. Siapa tidak mahu untuk cepat sampai ke arah tujuan, tapi jika nyawa yang digadaikan...Tak berbaloi sama sekali.

Pada jangka masa akan datang, tidak mustahil Malaysia mencatatkan kematian tertinggi disebabkan kemalangan di atas jalan raya jika tiada penyelesain diambil dalam waktu terdekat ini. Wanauzubillah...

....................................................................................

Bulan 12 atau Disember ini merupakan bulan yang paling ramai kenalan saya yang menyambut tarikh kelahiran masing-masing. 2 orang adik saya, Nurul dan Nomaliana, dan beberapa orang kenalan rapat di sekolah menengah dulu.

Moga kalian berada dalam Rahmat dan Berkah Yang Maha Esa dan dipanjangkan usia dengan kehidupan yang bahagia dunia akhirat...

Thursday, December 9, 2010

Mengapa berkecuali?

Sebentar tadi baru sahaja selesai perbincangan muhibbah antara kami dengan wakil daripada pihak AJKT Keluarga Penuntut Terengganu(KPT), Ustaz Ahmad Salikin. Intipati perbincangan yang berkisar mengenai isu hangat pegawai Yayasan Terengganu, Ustaz Kamal Abdullah dan mahasiswa Terengganu.



Kedatangan wakil dari pihak KPT telah dijangkakan lebih awal ekoran keengganan kami di pihak mahasiswa Terengganu Shoubra untuk turut sama menyertai tandatangan memorendum bantahan terhadap sikap tidak profesional pegawai yayasan tersebut.


Jujurnya di pihak kami,tiada bangkangan secara jelas atas penganjuran memorendum ini. Cuma yang menjadi persoalan adalah pencerahan terhadap isu ini yang kurang kami terima. Kami banyak mendengar 'cakap-cakap kedai kopi' yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk tidak turut serta selagimana tiada penjelasan jelas dari pihak yang menganjurkan memorendum tersebut.


Di sini tiada masalah berkaitan pentingkan diri sendiri. Keputusan untuk berkecuali daripada permasalahan ini juga adalah bertujuan untuk meredakan keadaan yang telah tersedia panas. Juga tiada paksaan daripada mana-mana individu dalam keputusan ini. Kami sepakat berikutan beberapa perkara yang perlu dirujuk kembali oleh KPT sebelum mengambil apa-apa tindakan susulan seperti memorendum bantahan ini.



Kejadian akhir November baru-baru ini kemuncak pada segala-galanya. Pegawai yang diberi tanggungjawab sebagai amil zakat dikatakan bertindak tanpa mengikut kredibiliti sebagai seorang amil dan juga pegawai yang menjaga kebajikan pelajar khususnya mahasiswa Terengganu. Ketidak profesionalan ini menimbulkan kemarahan segelintir mahasiswa yang mendakwa teraniaya oleh sikap pegawai tersebut. Berlaku sedikit kekecohan yang hampir membawa kepada pergaduhan di antara kedua-dua pihak.



Kami di pihak Shoubra melihat dari neraca yang lebih adil atas kejadian live yang tidak pernah dirancang itu. Kita ketepikan dahulu silap dan 'dosa' yang dilakukan pegawai@amil bekas ADUN Sura,Dungun itu.


Di pihak mahasiswa, kita sebenarnya telah menyalahi status kita sebagai orang Melayu Islam yang sedang belajar Agama Islam di tanah berkat Mesir dan di sebuah pengajian terulung, Al-Azhar as-Syarif.



Apabila berlaku hal yang demikian, kita sebenarnya telah meletakkan emosi dan amarah mengatasi batasan akal yang sihat dan ilmu agama yang tinggi yang dimiliki setiap mahasiswa agama. Disebalik kejadian ini, berlaku beberapa tindakan tidak patut yang telah dilakukan seperti yang telah tersedia maklum(tidak perlu saya sebutkan di sini). Tindakan yang saya kira amat tidak berbaloi ini mungkin dianggap protes 'belakang'. Mungkin juga ingin dilihat sebagai hero dalam permasalahan pegawai yang tak kunjung sudah ini. Mungkin juga kerana terlalu fed up dengan respon daripada pegawai yang mengecewakan dan banyak lagi kemungkinan-kemungkinan yang kita merasakan perbuatan itu 'patut'.




Kesedaran mengenai hormat menghormati juga terus hilang ketika adegan itu berlaku. Jika kesabaran kita terhadap pegawai itu hampir terhakis, kenapa tidak kita lapiskan lagi dengan sedikit haknya sebagai seorang tua yang tak terdaya atau yang tersesat membuat pilihan. Gantikan kemarahan melampau dan kebencian menggunung kita dengan ketenangan sungai Nil yang mengalir dalam tubuh badan kita. Suburkan peringatan untuk mendoakan hidayah kepadanya yang kita rasakan telah jauh daripada kebenaran. Kita zikir keburukannya yang seolah lebih jahat daripada rejim Israel, hingga terhapus debu-debu kebaikan yang telah beliau berikan.



Saya yakin beliau seorang Islam yang masih menunaikan rukun Islam dan Iman yang sama turut kita yakini. Tidakkah kita ketahui haknya sebagai Muslim seperti kita. Kita create sebuah medan khusus (Facebook) untuk mengutuk dan mengeji beliau yang terang-terang menyerang peribadi seseorang yang semua antara kita tahu apakah hukum agama mengenainya.


Marah dengan kenyataan saya? Sabar. Jika anda rasa tiada ruang dihati anda mengakuinya, saya doakan moga anda diberi peluang. Sedarkah tindakan kita baru-baru ini mencetuskan satu lagi 'modal' baru untuk mereka yang telah lama memerhati dan mencari peluang untuk menjatuhkan kita mahsiswa pengajian Islam? Sedarkah kita secara tak langsung tindakan keras kita itu telah mencalar imej Islam yang membawa kepada pendamaian dan muamalah secara berhikmah? Sedarkah kita telah terjerumus masuk ke dalam perangkap yang telah dirancang?He's politician!



Kita jangan burukkan keadaan yang sedang parah. Jika kita tak mampu mencari penawar, paling kurang kita jangan menambah perisa yang boleh merosakkan hubungan baik antara kita. Wujudkan suasana tenteram antara kita yang jauh merantau mencari sedikit ilmu. Jangan bazirkan waktu kita melayan tingkah laku beliau yang sering menyusahkan.



Saya copy paste daripada facebook ustaz nazrul yang tersedia maklum seluruh alam akannya

Masyarakat adalah gambaran syurga & neraka kita kelak..Kalau baik hubungan kita dgn masyarakat maka syurgalah milik kita, kalau buruk hubungan kita dgn mereka maka nerakalah tmpat kita..sebab tue jgn suka cari pasal dengan org..n jgn suka cari kesalahan org lain.. apa salah berbaik sangka sesama kita.. " Petikan kalam ...Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rushdi hafizahullah"




p/s: Setelah perjumpaan tadi,kami jelas dengan keadaan sebenar dan kami juga akan turut serta dengan bantahan tersebut atas ketidak profesional pegawai dalam bidang tugasnya.Sekian dimaklumkan.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP