Monday, November 7, 2011

Perbaiki diri dan seru orang lain kepada kebaikan

Kehidupan yang penuh perbezaan kini sedang saya alami. Sejak menjejak kaki di tanah air sebagai seorang yang telah menamatkan pengajian, ia suatu yang menyesakkan jiwa. Debaran demi debaran, juga tanggungjawab seperti beban berat yang dipikul.

Sungguh, berada di medan sebenar amat mengajar jiwa insani yang 'lembut' ini menjadi 'kasar' dan lebih adventure. Keadaan masalah sosial sekitar lebih-lebih lagi kampung tempat dibesarkan ini sangat membimbangkan. Kini, ia menjadi hala tuju yang perlu saya usahakan penyelesainnya di samping menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

3 tahun di sana seolah-olah menjadikan saya seorang 'malaikat' di mata orang kampung. Berada di jalan Nabi SAW bukan suatu yang mudah. Berada di medan seorang agamawan juga sangat perlu berhai-hati supaya tidak menjadi fitnah. Ilmu dan amal seharusnya seiring dalam kehidupan seorang pendakwah. Itu yang pasti.

Saya mengharapkan doa semua untuk mengukuhkan kaki dan hati saya di medan yang penuh ujian ini. Dengan kalimah syahadah yang diucapkan, tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dalam setiap diri Muslim.









Sunday, October 2, 2011

3 Tiga Tahun...

Jika melihat kepada tajuk entry sebelum ini, anda pasti dapat mengira sudah beberapa lama saya menyepi daripada mengisi coretan perjalanan ceritera saya di sini.

Alhamdulillah dan syukur berpeluang bertamu di Baitullah dan Masjid Nabawi selama 2 minggu amat mengharukan. Akhirnya impian saya dari dalam rahim lagi terlaksana untuk menghadirkan jiwa dan jasad yang penuh noda dan dosa ini ke Haramain, tanah berkah untuk pertama kalinya. Moga ibadat kami diterima...

Kisah jatuh bangun dalam menerima berita kesedihan dalam imtihan dan diakhiri kisah kegembiraan yang lebih manis daripada 'Madu Gurun' pergunungan Sinai. Menadah tangan ke langit atas kesyukuran nikmat kejayaan yang sementara sepanjang tempoh 3 tahun permusafiran di Lembahan Nil yang makin menghampiri penamatnya ini.

Tidak lupa saya titipkan doa kejayaan atas ujian untuk hambaNya yang beriman dengan penangguhan untuk lulus termasuk salah seorang ahlibait saya dan bersamanya lebih daripada 30 lagi sahabat seperjuangan.

Melepasi garisan LULUS bukan bermakna saya mendabik dada dengan segulung Ijazah yang tidak layak untuk saya ini dan menjuih muncung kepada mereka yang ditangguhkan kejayaannya bahkan saya sangat mencemburui akan ketabahan dan tawadhuk mereka dalam menghadapinya.

Benar, kejayaan ini hanya ukuran dunia yang tidak semestinya dikira berjaya di Akhirat sana. Saya mengharapkan kebaikan untuk keduanya. Ini juga merupakan kunci untuk saya terus melaburkan diri dalam medan yang sebenarnya.

Allah itu Maha Kaya dan Maha Hebat. Firman Allah Taala yang bermaksud:

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat. (Ar-Ra'd 13:26)

Saya hanya mengharapkan dunia itu hanya di dalam gengaman tangan saya supaya mudah untuk saya mencampakkannya bukan di dalam hati untuk saya tanamkan bersama jasad saya hingga bertemu tanah.

Akhirnya, dengan ilmu yang sedikit cuma dan Ijazah yang menjadi ukuran di mata manusia ini, dengan keduanya saya mengharapkan manfaatnya untuk diri saya dan orang lain(masyarakat). Moga Allah tinggikan saya dengan ilmu ini bukan mencela saya dengan ilmu ini. Dunia hanya sebagai ladang untuk menuai hasilnya di Akhirat nanti.





Friday, August 5, 2011

5 Ramadhan




Bismillah...Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita terutamanya nikmat Iman dan Islam yang hanya diberikan kepada makhlukNya yang terpilih sahaja.

Hari ini kita masih mampu menunaikan ibadah setelah masuknya 5 Ramadhan dan kita harapkan ibadah kita ini berterusan dan bertambah walaupun setelah berakhirnya Ramadhan.

Di daerah Shoubra, salah sebuah penempatan dan bandar di Kaherah ini tidak jauh bezanya dengan tempat lain di Mesir. Sikap orang arab yang cukup sinonim dengan Ramadhan adalah kegembiraan mereka dalam mengejar amal ibadat sepanjang bulan mulia ini.

Jika di Malaysia, bulan Ramadhan juga dikenal dengan pesta makanan. Juadah seperti lauk pauk dan kuih muih dijual di bazar Ramadhan yang semestinya menyebabkan pembaziran jika tidak dikawal.

Antara konsep puasa adalah untuk menjadikan kita merasai lapar. Lapar akan mengingatkan kita kepada umat manusia yang susah untuk mencari sesuap nasi. Puasa juga dapat menahan diri daripada melakukan kemaksiatan kerana keletihan dan posisi tubah badan yang lemah.

Di bulan ini, bulan yang hanya datang sekali dalam setahun. Padanya terdapat malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu malam. Berusahalah untuk mencari manisnya ibadat dan berlumba-lumba mengejar waktu dan peluang yang sedang terhidang ini.

Elakkan diri daripada me'raja'kan makanan dan minuman di bulan ini. Semestinya makan berlebihan menjadikan kita sukar dan malas untuk melakukan Terawih dan Qiam sepanjang Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

“Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”

(Hadis riwayat Muslim)



Sunday, July 31, 2011

Bulan Ramadhan Bulan al-Quran


Ahlan ya Ramadhan...

Dah lama tak update cerita kat sini. Banyak sangat peristiwa yang berlaku dalam masa waktu terdekat ini.

Diharapkan kedatangan bulan mulia Bulan Ramadhan kali ini penuh dengan keberkatan dan keistimewaannya yang telah tersedia maklum.

Sekadar berkongsi sabda junjungan Nabi saw : “Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan : kesenangan ketika berbuka, dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)

Ramadhan kareem untuk semua. Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kita. Bulan Ramadhan Bulan al-Quran.

Monday, June 27, 2011

Balas



Sebelum makin jauh masa berlalu, di sini saya ingin mengucapkan tahniah untuk sahabat saya, Kak wearani&suami, Siti Fatimah&suami, Ma'aruf&isteri, Faizul&isteri dan sudah tentu sekali untuk anak saudara tercantik Nornuzula&suami. Barakallahulakum wabaaraka3alaikum wajama3abainakum fikher. Ini pasangan pengantin untuk bulan Jun sahaja. Ramai kan?he.

*****************************

Saya akui sikap lazim untuk melakukan kesilapan sudah berakar umbi dalam diri. Kelmarin saya mengetawakan sahabat dari negara Afrika @ Sudan, saya kurang pasti. Melihat potongan rambutnya yang ala-ala Zainal Abidin penyanyi lagu Hijau amat mencuit hati. Sedar akan keterlanjuran, saya hentikan gelak jahat dengan mempercepatkan langkahan ke dewan exam. Selesai exam, saya baru sedar apa yang saya jawab tadi bukan kehendak soalan. Cash kan?

Mungkin sahabat yang saya gelak itu wali Allah yang warak(bukan wali pun xleh gelak jugak bro). Walau hanya soalan point yang kecil, tapi dari segi pemarkahan semestinya berlaku perubahan. Sekarang hanya mengharapkan dan menyerahkan segalanya pada Dia. Overall, Alhamdulillah saya amat berterima kasih bagi yang telah mendoakan. Saya yakin itu semua berkat doa anda yang tak putus-putus.

Masih berbaki lagi 3 kertas. Semestinya saya sekali lagi lagi memohon doa anda semua untuk dipermudahkan kami untuk meneruskan baki yang masih ada. Kalaulah anda tahu betapa berharapnya kami dengan doa kalian...

Jom, gerbang Ramadhan hampir kelihatan. Lakukan persedian sebaiknya untuk menerima kedatangan bulan mulia ini. Bulan ibadat untuk kita yang hina mencari pengampunan. Maaf dari saya untuk salah silap.=)




Saturday, June 11, 2011

Final Exam bukan Final FA

Dup...dap...dup...dap. Debaran kian mencapai kemuncak. Perjalanan akhir sebagai mahasiswa Shoubra makin dirasai. Esok kami akan menghadapi Imtihan Syahadah Tahun Akhir. Bukan lagi rahsia, tarikh 12/6/2011 menjadi pemula bagi 'kehidupan' baru kami. Hari pertama Qiraat Tahriri dan Fawasil antara killer subjek untuk kami.


Mohon doa kalian semua untuk kemudahan dan kejayan kami dalam imtihan kali ini.

p/s: Kenapa buat exam, hidup ambe terasa kosong bulan ini bias dari aura exam ini.haih!=)



Tuesday, June 7, 2011

Tok Limah

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali berkata: "Sesiapa yang ditimpa sesuatu musibah,walaupun ia tidak mengeluh tetapi sifatnya berubah dari kebiasaan,maka itu tanda dia tidak redha dengan apa yang menimpanya"

Ibn 'Athoillah berkata: "Yang dimaksudkan dengan sabar ialah apabila ditimpa musibah,penerimanya tetap dalam keadaan baik(lantaran redhanya)."

Penakrifan yang hampir sama antara keduanya akan sifat sabar. Redha dan sabar tidak dapat dipisahkan dalam teori ujian, bala, musibah dan setiap perkara yang tidak disukai dalam hidup kita.

Meniti hari yang semakin hampir pada imtihan amat berat dirasakan. Berita pemergian Tok(nenek) tersayang amat menyentap kalbu. Manakan dapat ditahan air mata daripada mengalir keluar. Dipejam rapat tergambar wajah Tok yang dihiasi kedut tuanya yang tersenyum melihat saya.

Evakuasi baru-baru ini peluang terakhir kami bersama. Banyak perkara yang berlaku antara saya dan Tok dalam tempoh tersebut. Melihat Tok solat dan berbual kisah lama anak beranak dengannya masih lagi segar dalam ingatan. Potretnya kemas tersimpan dalam telefon bimbit saya. Terasa sangat untuk merakam wajahnya di kala usai berbual dengan Tok malam itu.

Sentuhan Tok masih terasa. Jari-jari tua Tok masih kuat, persis jari manusia berurat besi. Gengaman Tok kemas dibandingkan gengaman saya. Pagi itu Tok mengurut saya. Esok pun sama. Bukan enak untuk di urut, lagi-lagi jika itu menyusahkan Tok. Yang saya tahu, dengan cara itu, saya dapat rasakan belain Tok. Ah!Susah hendak diluahkan tindakan saya waktu itu. Tiada logik seorang tua yang tidak terdaya itu saya bebankan ia dengan permintaan yang tidak patut.

Kami berbual panjang. Peluang Tok bermalam seminggu dua di rumah, saya penuhkan dengannya. Akhirnya Tok meminta untuk ke rumah anaknya yang lain. Esoknya saya hendak bertolak ke Mesir. Tok melihat saya dengan pandagan sayu. Hati saya menangis melihat air mata Tok. Hati saya berbisik halus, antara kami akan ada perpisahan. Pasti tentang fitrah kitaran manusia yang akan menemui penghabisan umur.

Tok di dalam kereta menangis dengan esakan dan pesanan terakhirnya untuk saya. Melihat Tok hingga hujung pandangan, mata saya berair. Itu kali terakhir dan nokhtah perpisahan kami di dunia.

Dalam doa cucumu ini, moga Allah tempatkan Tok di tempat mereka yang beroleh kenikmatan, di tempat orang-orang yang soleh solehah. Iringan doa dan sedekah bacaan al-Quran untuk Tok saya. Limah Bt Mat Zin ( Tok Limah),30/05/2011, Selasa...al-Faatihah.

Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; oleh itu apabila Ia menetapkan jadinya sesuatu perkara maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia. (Ghaafir 40:68)



Wednesday, April 13, 2011

AMTA 2011 Kembali



اللقاء السنوي
لخريجي معهد تحفيظ القرآن بولاية ترنجانو
بمصر

Tempat : Rumah Ceritera @MBe Tarikh : 13/04/2011 Masa : Ba3da Maghrib Anjuran : AMTA Mesir

Adalah seperti yang tertera, dijemput kepada semua lepasan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu Padang Midin (MTANT) a.k.a Institut al-Quran Terengganu (IQT) untuk menghadirkan diri ke Liqa' Sanawi yang bertempat di St.Theressa, Shoubra. Antara atucara majlis :
  • Khatam Quran @ Tahlil
  • Maulid
  • Ucapan Presiden AMTA Us Muhammad Bin Rusdi
  • Taujihat senior tahun akhir
  • Ucapan wakil DPM, BKAN dan PMRAM
  • Ucapan wakil Bait Muslim
  • Isu-isu berbangkit
  • Membincangkan masalah-masalah tertutup di kalangan ahli
  • Anugerah al-Faqeh Mithali & al-Qari' al-Mithali
  • Anugerah pelajar cemerlang Maahadian
  • Anugerah pelajar tahun akhir Mesir
  • Ranggah Hadralmaut Tiss Kaamil









Friday, April 8, 2011

Keluargaku Hidupku



Alhamdulillah, Jumaat nan indah datang kembali. Hari yang lebih dikenali dengan gelaran penghulu segala hari. Hari yang diisi dengan selawat atas Baginda Nabi Muhammad SAW. Hari yang penuh berkat dengan bibir yang dibasahi zikir dan bacaan serta tadabbur daripada Surah Al-Kahfi. Hari segala hari yang mempunyai seribu rahsia keistimewaannya. Ayuh, kita hidupkan hari ini dengan segala amalan kebajikan sebagai bekalan di hari nanti.

Sungguh indah hari ini jika bersama keluarga tersayang di tanah air. Kebiasaannya, permulaan pada pagi yang hening ini dimulakan dengan bacaan Al-Quran daripada Ayah tersayang. Tika ini, nahaslah jika masih ada yang berbaring lena dalam selimut masing-masing. Didikan untuk bangun awal Subuh telah dipupuk sejak kami masih kecil. Kami sama sekali dilarang daripada tidur selepas waktu Subuh.

Mak tercinta bangkitnya lebih awal daripada semua makhluk hidup di rumah. Subhanallah, masih belum saya temui wanita yang hidupnya hanya untuk suami dan anak-anak melainkan wanita yang telah mengandung dan melahirkan saya ini. Ketika ayah tenggelam dengan nikmat dan tadabburnya dengan Kalamullah, Mak berselangseli menyiapkan sarapan dan juga mengejutkan kami yang masih tidur. Mak amat masak dengan perangai Ayah yang tiada tolak ansur bilamana mengetahui ada antara kami yang masih belum bangun daripada tidur.

Sahutan kicaun burung dan bunyi ayam yang 'meminta' sarapan menambahkan lagi seni kehidupan pagi kami. Waktu itu mentari yang cantik telah memancar sinar paginya dengan megah. Sekarang, rumah kami tiada lagi pepohon kayu untuk menghalang sinar matahari daripada terus menerangi teratak kami selepas diberi sentuhan nafas baru oleh ayah 2 tahun yang lalu. Binaan konkrit kukuh untuk menyokong tanah menjadikan kawasan sekitar rumah kami lebih luas.

Setiap pagi, jarang sangat untuk kami ketinggalan bersarapan bersama-sama. Jumaat dikatakan hari wajib kerana kepulangan kakak dan abang yang bekerja sekitar Terengganu untuk bercuti. Keakraban, ikatan dan hubungan kami amat susah ditafsirkan. Darah Mak dan Ayah yang mengalir tidak mampu untuk menjarakkan kami, inikan pula untuk memisahkan kami.

Selesai sarapan, masing-masing sedia dengan tugasan tertentu. Lelaki ke belakang rumah dan sekitarnya, membersih segala jenis sampah dan mengemas barang-barang di stor. Perempuan dengan tugasan di dapur juga menjemur kain. Jika kepulangan penuh kami anak beranak, semestinya lauk tengah hari tersebut teramat istimewa. Alhamdulillah, ada di antara kakak yang pandai memasak. Amat pandai memasak saya kira. Tidak hairanlah sekarang ada yang membuka perusahaan kedai makan secara kecil-kecilan.

Usai Solat Jumaat, hidangan siap tersedia menanti. Adat di rumah, perlu menunggu sehingga Ayah pulang terlebih dahulu. Ayah sebagai imam selalu balik agak terkemudian daripada jemaah yang lain untuk menguruskan hal berkaitan masjid. Ayah yang sudah tersedia maklum akan memberitahu awal-awal untuk tidak menunggunya jika hari itu ada jemputan tahlil dan sebagainya.

Ini hanya berlaku di Malaysia, bersama keluarga yang saya dan adik beradik membesar bersama. Pesanan Ayah untuk kami adik beradik menjaga hubungan antara kami amat diambil cakna oleh semua. Ketaatan kami pada Mak Ayah diharap kekal dan semakin baik dari hari ke hari. Impian kami untuk melihat mereka berdua mampu mengerjakan Haji yang mabrur sebelum nafas terakhir mereka diharap menjadi kenyataan, insyaAllah.

Tiada yang lebih diimpikan manusia yang berakal melainkan sebuah kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kebahagian untuk mendambakan cinta Allah dan RasulNya. Kehadiran anak-anak dan dihiasi lagi dengan telatah cucu-cucu yang nakal hampir mengapai Rumahku Syurgaku. Semoga Allah memperbaiki dan menjaga hubungan antara kami semua dan meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kami kepada Allah SWT dalam mencari keredhaan hidup di dunia dan Akhirat.

Mode: Ingat keluarga amat!

A014
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman 31:14)




Thursday, April 7, 2011

Lagu indah daripada rakyat Mesir-25 Januari 2011

Syuhada' 25 Januari~Hamadah Helal~




Syuhada' 25~Tamer Husni~

Friday, April 1, 2011

Pabila Melihat

Sudah lama ambe tidak berceritera di sini selepas peristiwa besar yang bakal dan telah merubah sejarah Ummuddunya, Mesir@Egypt. Kejatuhan empayar Husni Mubarak yang dahulunya merupakan 'gergasi' akibat gigitan 'jutaan semut-semut hitam'. Akhirnya tersungkur di antara sebuah kerajaan yang paling lama menguasai dan memerintah sesebuah negara. Kemegahan sementara yang diagungkan selama ini rebah menanti reput. Diharapkan revolusi dunia arab kini menjadi peringatan kepada semua pemimpin dunia terutamanya pemimpin yang mengatakan mereka itu hamba Allah dan pengikut Muhammad SAW.

Tempias kini tercalit kepada Al-Azhar, sebuah tempat pengajian terulung dunia. Bahang itu semakin parah dari hari ke hari. Manhaj mu3tadil dan wasotiah yang selama ini menjadi method Al-Azhar kini terancam oleh mereka yang mengatakan mereka adalah pendokong Islam dan penentang bidaah. Moga Allah menjaga kemulian dan kesucian Al-Azhar daripada sebarang anasir yang ingin memburukkan imej Al-Azhar di mata dunia.

Pelbagai 'kejutan' yang berlaku dalam waktu 25 JAN 2011 atau lebih dikenali sebagai Thaurah Sya3b (Kebangkitan Rakyat). Selesai sudah ambe melihat dan melawat medan Tahrir yang kini diberi nama baru Medan Syuhada' bersempena dengan peristiwa 25 Januari yang meragut nyawa ramai rakyat Mesir. Pengorbanan segolongan rakyat dan sokongan yang lainnya menatijahkan kuasa sebenar sesebuah negara. Manfaatnya boleh diambil dan dijadikan iktibar untuk kesemua manusia yang berfikir.

Perintah berkurung masih berkuatkuasa di antara jam 12.00 malam hingga 6.oo pagi. Hikmah disebalik peristiwa besar ini perlu direnung dan dijdikan ingatan bersama. Sekarang kita menunggu khabar dari negara jiran yang retak menanti belah. Kesudahan yang terbaik kita harapkan, insyaAllah.



Thursday, January 13, 2011

Sahabat Urdun

Permulaan tahun baru ini, rumah kami diberkati dengan kunjungan ziarah sahabat seperjuagan dari seberang Laut Merah, Jordan. Kegigihan empat orang sahabat, Us Auni, Us Aisa, Us Nazirul, dan Us Zulhelmi berakhir setelah mengharungi perjalanan laut dan darat yang memakan masa selama hampir 12 jam untuk sampai ke destinasi.

Ikatan ukhuwwah yang telah terjalin sekian lama sejak di fasa 'asuhan' Maahad Tahfiz lagi, kini dibajai kembali melangkaui sempadan negara. Pelukan kasih sayang menyambut ketibaan mereka yang kepenatan dan disusuli dengan hidangan masakan enak Us Salam el-Masyi.

Hadir tetamu membawa berkat. Kedatangan mereka untuk menghabiskan waktu pecutian semester dengan memilih Mesir sebagai destinasi pilihan. Dua di antara mereka adalah rakan sekelas sewaktu di MT dulu. Selepas tiga tahun, ini pertemuan pertama kami. Sukar digambarkan perasaan tika itu. Nostalgia suka duka bermain di mata. Pelukan kemas itu tanda rindu antara kami amat sukar untuk dirungkap.

Perbualan santai disudahi dengan alunan dengkuran masing-masing yang keletihan. Moga saya mampu memberi khidmat terbaik untuk mereka sepanjang keberadaan mereka di sini.

~Ahlan bissa3adati duyuf~





Saturday, January 8, 2011

Anak-anak kecil














Friday, January 7, 2011

Awas, jangan keluar rumah hari ini!

Insiden pengeboman Gereja al-Qiddissin di Iskandariah pada awal tahun 2011 seolah-olah merubah mimpi lena Mubarak dan Mesir seluruhnya. Seiring dengan sambutan tahun baru kali ini, Mesir dihidangi dengan peristiwa berdarah yang cukup mengerikan. Jumlah kematian dan kecederaan yang tinggi (23 kematian dan hampir 70 kecederaan) kebanyakannya penganut Kristian ini meningkatkan kemarahan mereka yang sering mengatakan pihak kerajaan mengamalkan dikriminasi pada mereka selama ini. Kesan ledakan bom yang kuat menyebabkan masjid yang berdekatan yang turut sama terkena serpihan yang menyebabkan 8 orang Islam tercedera.

Sehingga hari ini, beberapa rusuhan telah berlaku. Rusuhan daripada penganut Kristian ini adalah untuk menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil tindakan yang sepatutnya untuk menjamin keselamatan mereka di gereja. Antara lainnya juga, dikriminasi yang diamalkan kerajaan pada penganut minoriti ini antara yang hanya berjumlah 10% sahaja di Mesir.

Hari ini, Jumaat~7 Januari adalah perayaan Krismas untuk Kristian Koptic Ortodoks mengikut kalendar Julian (klik sini). Diharapkan pihak yang bertanggungjawab mengambil perhatian dan iktibar dari peristiwa lalu. Daerah Shoubra ini terutamanya St.Theressa ini terdapat sebuah gereja utama yang pastinya ketika ini penuh dengan polis dan mabahis. Bagi sahabat yang disayangi, dipohon agar anda semua menikmati hari ini di rumah sahaja. Jika perlu untuk keluar, pihak Keselamatan Mesir menyuruh agar mahasiswa-mahasiswi Malaysia lebih berhati-hati dengan membawa dokumen pengenalan diri seperti pasport, kad matrik universiti atau kad ahli PMRAM. Pekeliling yang telah dikeluarkan oleh persatuan diharap diambil perhatian sepenuhnya.

Keganasan ini sebenarnya adalah suatu propaganda yang telah diatur oleh pihak tertentu untuk mengucar kacirkan toleransi agama di Mesir. Terdapat beberapa laman web yang menyenaraikan kedudukan seluruh gereja sekitar Mesir dan Eropah serta cara-cara untuk menyerang mereka. Islam adalah agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan. Jangan membelakangi tuntutan agama dalam sesuatu perkara. Al-Quran dan Sunnah perlulah dijadikan panduan dalam kehidupan kita yang hanya sementara ini.





Monday, January 3, 2011

Kawan baru ( ganti us akhori )


Shiro&Hachi(first day)


Hold tight


Tempat Bergaloks


Our beds


We love gargil!


Untuk 2 hari


Jiran tetangga kami



  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP